Rokok, arak seludup bernilai lebih RM1.8 juta dirampas

06/02/2021 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Pelbagai jenis arak dan rokok bernilai RM1.8 juta dirampas dalam beberapa serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Besi, Puchong dan Muar semalam.

Komander PGA Briged Tengah ACP Muhammad Abdul Halim berkata dalam tiga serbuan di sekitar Sungai Besi dan Puchong pada pukul 5.30 petang, polis turut menahan enam orang terdiri daripada seorang lelaki tempatan, tiga lelaki dan dua wanita Myanmar, kesemuanya berusia antara 29 hingga 52 tahun.

“Dalam serbuan pertama sebanyak 7,956 tin bir dan 958 botol wiski dirampas manakala dalam serbuan ketiga pula polis merampas 240 tin bir dan 132 botol wiski.

“Dalam serbuan kedua sebanyak 3,182 tin bir dan 956 botol wiski selain 450 karton rokok pelbagai jenama membabitkan 90,000 batang rokok dirampas,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

Di Muar pula, Muhammad berkata Cawangan Risik Batalion 6 Muar menyerbu sebuah premis di Bukit Gambir dan merampas 36 tong berisi 7,200 liter pati wiski dan 1,353 botol wiski pelbagai jenama.

Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 7 malam itu, polis menahan lima lelaki tempatan dan empat lelaki Indonesia berusia 17 tahun hingga 50 tahun.

“Dengan penahanan suspek dan rampasan yang dibuat, polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran minuman keras dan rokok tanpa cukai di sekitar Lembah Klang dan Muar,” katanya.

Leave a Reply