Pejabat Pesuruhjaya Sukan galak AGM dalam talian, sidang video
07/02/2021 09:37 PM
KUALA LUMPUR, 7 Feb — Persatuan atau badan sukan digalakkan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan pemilihan ahli jawatankuasa secara dalam talian atau sidang video, dalam memenuhi tuntutan perlembagaan masing-masing.
Menurut Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), persatuan atau badan sukan disyor menyediakan atau menetapkan mekanisma pelaksanaan AGM dan kaedah pemilihan ahli jawatankuasa yang sesuai dengan norma baharu, berpandukan kepada perlembagaan masing-masing.
“Perjalanan mesyuarat tersebut juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” menurut PPS dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan PPS itu, terdapat persatuan sukan yang berdaftar dengan Akta Pembangunan Sukan 1997, berhasrat untuk mengadakan AGM, selepas tidak dapat mengadakannya secara bersemuka serta terpaksa menangguhkan ke suatu tarikh lain, ekoran penularan wabak COVID-19 sejak tahun lalu.
Kenyataan itu menyebut Kementerian Belia dan Sukan sangat mengambil berat faktor kesihatan dan keselamatan yang melibatkan semua ahli badan sukan, kelangsungan pengusaha kemudahan sukan dan seluruh industri sukan di pelbagai peringkat, di seluruh negara.
“Pada masa sama pentadbiran badan sukan juga perlu diurus dengan lancar dan teratur,” menurut kenyataan itu.