PM datang, masalah pun selesai

Kota Tinggi: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ke Gugusan Felda Lok Heng, di sini, hari ini, dengan membawa khabar gembira jelas memberi sejuta makna kepada penduduk di Felda berkenaan dan sekitarnya.

Dalam ucapannya di majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan penyelesaian kepada beberapa masalah yang melanda warga peneroka.

Bagi masalah perumahan generasi kedua Felda, beliau mengumumkan perubahan konsep bagi memastikan golongan itu mampu memiliki rumah sendiri.

Ismail Sabri berkata, jika sebelum ini Felda membina rumah sehingga siap dan kemudian, baru dijual kepada generasi kedua Felda.



“Bagaimanapun, melalui kaedah itu, ada anak peneroka yang tak mampu beli rumah berkenaan berikutan tiada pendapatan tetap dan ada juga masalah pemaju yang tak dapat siapkan.

“Sekarang Felda akan menjual lot-lot tapak rumah kepada mereka dan saya berharap ia menyelesaikan masalah perumahan bagi generasi kedua Felda ini,” katanya pada majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera, di Felda Kok Heng Barat, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.
Isu perumahan generasi kedua Felda dijadikan bahan kempen oleh parti pembangkang sepanjang kempen Pilihanraya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Tidak cukup dengan itu, Ismail Sabri juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi kemudahan infrastruktur di semua 3,200 lot tapak rumah yang dijual itu.



“Peruntukan ini ditanggung secara bersama oleh kerajaan Pusat dan negeri.

“Dengan adanya lot itu ia dapat selesaikan sebahagian isu di Felda,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga prihatin dengan masalah air yang melanda Gugusan Felda Lok Heng dan Gugusan Waha yang menyusahkan kehidupan peneroka di situ.

“Berikutan itu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM41 juta bagi menaik taraf Loji Rawatan Air Lok Heng dan kini hanya menunggu surat pelantikan untuk memulakan kerja,” katanya.

Selain itu, katanya, Tabung Usahawan Felda diwujudkan semula dan bagi permulaan, sebanyak RM10 juta disediakan bagi membantu usahawan belia Felda.

“Saya juga ingin mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Belia Felda sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda supaya segala dasar yang dibuat mendapat pandangan daripada belia Felda,” katanya.

Mengenai ancaman gajah liar di kawasan Felda di situ, Ismail Sabri berkata, Santuari Gajah di Panti bagi fasa pertama sudah disiapkan dan fasa kedua akan diteruskan dengan kedua-dua fasa diperuntukkan sebanyak RM10 juta.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker