Kekalahan dan waktu sukar, mampu serlahkan potensi sebenar diri anda – Nicol

Hebahkan !!!

08/02/2021 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Adalah satu kebiasaan bagi seseorang untuk menghadapi masa sukar serta kegagalan, namun dengan susah payah itulah juga menjadikan mereka kuat dan menuju kejayaan lebih besar, demikian perkongsian bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 37 tahun yang dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Dunia pada Isnin lepas berkata meskipun mengecapi pelbagai kejayaan yang melengkapkan dirinya sebagai bintang skuasy paling berjaya, namun kepayahan dihadapi benar-benar mendorongnya menjadi lebih baik.

Nicol, yang meraih 81 gelaran Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sepanjang hampir 20 tahun dalam karier profesionalnya berkata kekalahan yang dihadapinya memainkan peranan paling penting dalam membentuknya sehingga menjadi ikon sukan berkenaan.

“Sama ada saya kalah, menjadi pemain nombor satu dunia dan tidak tahu bagaimana mengatasi tekanan atau apa yang harus dilakukan menjadi nombor satu dunia, perasaan itu membantu saya mengenal pasti apa yang benar-benar penting bagi saya, untuk bekerja lebih keras dan mencari jalan untuk terus memperbaiki diri.

“Ketika berada di puncak, saya belajar mengambil pertandingan sebagai sesuatu yang baik untuk saya. Saya menggunakannya untuk melihat sejauh mana potensi saya dapat pergi, bukan hanya untuk satu tahun tetapi berapa lama saya dapat bertahan dengan apa yang saya dapat.

“Itulah keseluruhan pengalaman yang saya dapat dalam skuasy dan saya sangat bersyukur untuk masa yang saya ada dan semua perkara yang telah saya pelajari dalam karier saya.

“Seseorang harus percaya pada diri sendiri dan tidak melihat kegagalan sebagai sesuatu yang buruk dan menyerah, tetapi perlu kembali lebih kuat dan berusaha lebih gigih untuk merealisasikan potensi sebenar seseorang,” kata Nicol dalam rancangan bual bicara Bernama Radio hari ini.

Tidak ada yang perlu dikesalkan oleh bekas atlet kelahiran Pulau Pinang itu selepas mencapai segala yang mungkin termasuk gelaran juara dunia lapan kali, pemegang rekod paling lama 109 bulan (sembilan tahun) sebagai pemain nombor satu dunia dan muncul atlet paling berjaya di Sukan Asia dengan tujuh pingat emas keseluruhannya.

Mengenai masa depannya, Nicol berkata beliau berharap dapat melihat dan mendengar kisah mengenai kejayaan dari Yayasan Nicol David dalam tempoh lima tahun akan datang dan terus berusaha memperkasa remaja dan wanita.

“Saya berharap yayasan ini akan mempunyai kisah kejayaan. Apabila kanak-kanak belajar sesuatu yang baharu, dalamskuasy atau sukan lain, ia telah mengubah kehidupan mereka. Ia menjadi salah satu detik terbaik saya untuk mengetahui asas yang saya kumpulkan telah memberi kesan kepada kanak-kanak ini, ”katanya.

Nicol yang kini berpangkalan di Colombia dan akan kembali ke Malaysia pada bulan depan setelah lebih setahun berada di sana berkata perkara pertama yang berlegar di fikirannya adalah untuk bertemu keluarga dan menikmati makanan tempatan.

Rancangan bual bicara berkenaan boleh diikuti di Facebook Bernama Radio: https://web.facebook.com/watch/?v=941614396371121.

Leave a Reply

%d bloggers like this: