KRM berhasrat tubuh Akademi Cikgu Maniam untuk fokus pembangunan pengadil


Cikgu Maniam (Kredit: Kesatuan Ragbi Malaysia)

08/02/2021 08:45 PM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengumumkan cadangan menubuhkan Akademi Cikgu Maniam yang tertumpu kepada pembangunan pegawai perlawanan berkaitan pengadilan sebagai mengenang jasa bekas pengadil kebangsaan dan Asia mendiang K. Maniam.

Presidennya Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata ia merupakan antara cabang dalam perancangan KRM bagi menubuhkan Akademi Ragbi Malaysia (ARM) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Program pembangunan pegawai perlawanan telah pun berjalan sekian lama dan Cikgu Maniam adalah antara peneraju dan penggerak utamanya.

“Maka kita menjenamakan semula program pembangunan pegawai perlawanan ini di bawah jenama ‘Akademi Cikgu Maniam’ bagi mengenang jasa mendiang dan mengingatkan kita semua tentang pengorbanan beliau atas cintanya kepada sukan ragbi,” katanya kepada Bernama.

Dikenali sebagai Cikgu Maniam dalam kalangan peminat ragbi sejak 1970, Maniam, 77, meninggal dunia pada pagi Sabtu lepas akibat kanser di kediaman keluarganya di Brickfields di sini.

Mendiang, yang bertugas sebagai guru di Taiping pada tahun 80-an dan 90-an, terkenal dengan dedikasi dan kecintaannya terhadap sukan ragbi apabila sanggup menaiki bas serta kereta api untuk mengadili perlawanan di sekitar Lembah Klang.

Maniam memulakan kariernya sebagai pengadil pada 1975 dengan mengendalikan perlawanan peringkat sekolah sebelum menerima pengiktirafan menjadi pengadil peringkat kebangsaan dan Asia pada 1980 dan telah mengadilii perlawanan Piala Asia 1985.

Beliau bersara sebagai pengadil pada 1990 tetapi terus memainkan pelbagai peranan dalam KRM dan Ragbi Asia sehingga ke hujung hayatnya.

Mendiang pernah menjadi Pegawai Pengajar Perlawanan, Penilai dan Pesuruhjaya Pemantau.

Atas sumbangannya, Maniam telah menerima Anugerah Pengadil Perlawanan ‘Carlson Lin’ Ragbi Asia pada 2014.

Leave a Reply