Dadah RM2.7 bilion dalam kargo pisang

Oleh – Syeikh Baran


Dadah RM2.7 bilion dalam kargo pisang
Bungkusan dadah itu diselitkan di bawah pisang. – NCA

Rampasan dadah berat terbesar di Britain menyaksikan narkotik dengan nilai jalanan £450 juta (RM2.7 bilion) dirampas dalam kargo pisang, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Bungkusan-bungkusan kokain seberat 5.7 tan itu ditemui di dalam sebuah kontena berasal dari rantau Amerika Selatan di Pelabuhan Southampton pada 8 Februari lalu.

Rekod sebelum ini menyaksikan sebanyak 3.7 tan kokain dirampas di Southampton pada 2022. Sebanyak 3.2 tan kokain pula ditemui di atas kapal tunda, MV Hamal di Scotland pada 2015.



Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) berkata, bekalan dadah itu dalam perjalanan menuju ke bandar Hamburg di Jerman, manakala siasatan dijalankan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat.

Pegawai-pegawai Pasukan Sempadan di Southampton menemui bungkusan kokain yang ditutup dengan pisang itu selepas dihubungi oleh NCA supaya melakukan pemeriksaan kargo.

“Rampasan ini akan menyebabkan kewangan kumpulan penjenayah terbabit terjejas teruk

“Kami menyaksikan lonjakan rampasan dadah di seluruh Eropah sejak kebelakangan ini, manakala pasaran kokain terus meningkat di Amerika Selatan,” kata ketua agensi membanteras ancaman dadah NCA, Andy Mason.



NCA berkata, pasaran kokain domestik dikuasai oleh kumpulan-kumpulan penjenayah yang dipercayai mengaut keuntungan kira-kira £4 bilion (RM24.2 bilion) setahun di Britain sahaja.

Tambah Mason, operasi mengetatkan kawalan keselamatan yang dilakukan di pelabuhan Southampton membawa kepada penahanan beberapa pekerja yang membantu pengedaran kokain. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker