INGATKAN ELIZABETH TAN KAHWIN, RUPANYA GIMIK MV LAGU BARU
Sebelum ini kecoh bila melihat penyanyi Elizabeth Tan memakai gaun pengantin berwarna putih bersama seorang lelaki berambut panjang menerusi video tersebut yang dimuat naik di laman Instagram baru-baru ini. Video tersebut telah menarik perhatian dimana netizen menyangkakan Elizabeth berkahwin.
Namun begitu, sangkaan netizen itu nampaknya meleset dan rata-rata peminat meluahkan rasa kecewa apabila Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy itu mengakui perkongsian tersebut merupakan gimik yang direka untuk mempromosikan lagu terbaharunya duet bersama penyanyi Hazama berjudul ‘Beku’.
Menurut Elizabeth, dia sengaja memuat naik video untuk menarik perhatian. Biarpun gimik itu berjaya menarik perhatian, namun Elizabeth tidak menjangkakan reaksi peminat yang meluahkan rasa kecewa kerana memikirkan penyanyi berusia 28 tahun itu berkahwin.
Klik untuk gambar besar
“Konsep dan jalan cerita untuk MV itu memang idea saya termasuklah gimik sebelum MV itu release di YouTube. Masa nak release lagu ni, rasa macam terlalu rushing dan kalau nak buat marketing macam biasa, tak effective sangat.
“Jadi, saya beritahu pihak pengurusan yang kita perlukan sesuatu untuk tarik perhatian orang ramai dalam masa yang cepat. Bagi saya, untuk berkongsi gimik video macam itu merupakan percubaan saya.
“Secara peribadi saya dah jangka ada peminat yang kecewa bila tahu kononnya saya berkahwin. Tapi saya tak jangka la sampai ada peminat yang nak unfollow laman sosial saya.
“Saya terfikir macam mana kalau saya betul-betul kahwin, apa reaksi peminat. Takkan karier saya tak boleh nak teruskan… saya pun nak kena kahwin satu hari nanti,” katanya.
Elizabeth atau nama penuhnya Elizabeth Tan Su Mei ini berkongsi perkara itu ketika sesi sidang media lagu ‘Beku’ menerusi video secara maya pada Selasa.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Hazama buat kali pertama, Elizabeth mendedahkan dia berasa dirinya tidak layak dan segan untuk menyanyi bersama penyanyi itu.
“Saya memang peminat Hazama dari dulu. Saya rasa sangat segan nak menyanyi bersebelahan dengan Hazama. Bila saya dengar demo yang Hazama dah rakam part dia, terus saya rasa tak layak untuk menyanyi dengannya.
“Saya belum di tahap dia lagi… saya belum rakam bahagian saya sebab rasa macam teruk sangat dan tak cukup pengalaman. Bila dah masuk studio, Hazama banyak membantu dan tunjuk ajar kepada saya.
“Tapi sejujurnya saya memang segan dengan Hazama dan dalam pada masa yang sama, saya juga bersyukur dapat peluang bekerjasama dengan dia,” ujarnya.