KELUAR KENYATAAN FITNAH – PPM SAMAN KARYAWAN, FREDDIE FERNANDEZ

Hebahkan !!!

“Amat mengecewakan apabila Karyawan dan Freddie secara sengaja serta berulang kali membuat kenyataan tidak benar walaupun mengetahui bahawa ia tidak benar. Ia mampu menjatuhkan reputasi PPM sebagai badan pelesenan sah bagi ahli-ahlinya yang terdiri daripada syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa.

“Mendukacitakan apabila pelbagai usaha dibuat PPM untuk menegakkan kebenaran menerusi kenyataan balas media, namun Freddie dan Karyawan berterusan memfitnah. PPM tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan fitnah berkenaan.

“Kenyataan fitnah yang dibuat Karyawan dan Freddie mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami. Ia menyukarkan lagi kerja kami untuk mengutip yuran pelesenan bagi pihak ahli-ahli kami dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar,” kata pengerusi Public Performance Malaysia (PPM), Rosmin Hashim dalam satu kenyataan kepada media.

PPM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan pengerusinya, Datuk Freddie Fernandez atas kenyataan fitnah terhadap mereka. Rosmin berkata, pihaknya sudah menyerahkan Penyataan Tuntutan ke atas Karyawan dan Freddie pada 12 Januari lalu.

Menurut Rosmin, kenyataan fitnah itu dikeluarkan pada saat paling buruk di mana seluruh industri muzik dan negara bergelut dengan cabaran dan dugaan untuk mengatasi kesan pandemik Covid-19. Malah, ia memberi kesan kepada operasi PPM secara tidak langsung.

Sebelum ini, PPM mengeluarkan beberapa kenyataan media pada 13 Oktober dan 10 November tahun lalu untuk membetulkan kenyataan tidak benar yang dibuat Freddie pada 3 Oktober, 6 Oktober dan 26 Oktober tahun lalu di beberapa media cetak, portal dan juga platform media sosial.

Bagaimanapun, Freddie terus membuat dan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap PPM kepada pelbagai media. Sehubungan itu, PPM mengeluarkan Surat Tuntutan kepada pihak Karyawan dan Freddie pada 12 November tahun lalu.

Mereka menuntut agar permohonan maaf dibuat secara terbuka, menarik balik kenyataan fitnah dibuat dan menghentikan penyebaran fitnah berterusan tetapi Karyawan dan Freddie enggan berbuat demikian.

Selain mengambil tindakan sivil, PPM juga membuat laporan polis terhadap mereka atas kesalahan jenayah fitnah. Turut dibuat adalah aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan menyalahguna Internet untuk menghasil dan menyebar komen serta berita palsu dengan niat mengganggu PPM.

Leave a Reply

%d bloggers like this: