Lawatan Muhyiddin ke Indonesia janjikan potensi pemulihan ekonomi yang kukuh – SAPP


Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee

09/02/2021 05:39 PM

KOTA KINABALU, 9 Feb — Lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia baru-baru ini yang dibuat atas undangan Presiden republik itu Joko Widodo (Jokowi), dilihat dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh selepas berakhirnya pandemik COVID-19 kelak.

Presiden Parti Progresif Sabah Datuk Yong Teck Lee berkata agenda utama yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu, termasuk usaha bersama Malaysia-Indonesia untuk menangani kempen antiminyak sawit dan penglibatan syarikat Malaysia dalam pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan, menjanjikan potensi ekonomi untuk rakyat negara ini, khususnya di Sabah.

“Kedua-dua perkara – minyak sawit dan Kalimantan – mempunyai impak besar ke atas kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yong berkata kajian untuk mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) bagi perjalanan di antara Malaysia dan Indonesia juga penting kerana walaupun ada pihak mengkritik RGL sebagai gelembung perjalanan yang berisiko dan pramatang, RGL yang dicadangkan itu tidak terbuka kepada semua.

RGL yang dirancang itu hanya untuk perjalanan di antara zon bebas COVID-19 di kedua-dua negara, contohnya dari Sabah ke Kalimantan, katanya.

“Atas sebab inilah Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA) menggesa agar satu kajian diadakan untuk turut menimbang potensi RGL di antara China dan Korea Selatan dengan Malaysia,” katanya, menambah Singapura dan Hong Kong juga mempunyai perancangan serupa.

Yong berkata perdana menteri membuat perancangan untuk masa depan bagi menjamin pemulihan ekonomi yang kukuh dan cepat sebaik sahaja pandemik menghampiri penamatnya.

Katanya berikutan vaksin kini tersedia secara meluas di samping kebanyakan negara juga sedang mendepani kemuncak penularan COVID-19, ada kemungkinan pengakhiran pandemik tersebut sudah bermula, dan diharapkan dunia sudah pulih daripada jangkitan itu apabila Olimpik Tokyo berlangsung pada Julai ini.

“Sehubungan itu, parti pembangkang serta laskar siber mereka wajar menghentikan tindak-tanduk bodoh mereka termasuk mempersendakan lawatan rasmi perdana menteri ke Indonesia yang, diulangi, dibuat atas jemputan presiden Indonesia.

“Kita semua sedia maklum, perdana menteri dan pasukannya bekerja keras saban hari untuk mengatasi penularan pandemik ini,” katanya.

Menurutnya, Muhyiddin telah membuktikan kemampuannya menerusi sikap tenang beliau selain sentiasa fokus dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk memastikan wujudnya keseimbangan di antara kesihatan dan sara hidup rakyat.

— BERNAMA

Leave a Reply