Bekas bintang sensasi Jepun lawat pusat latihan Selangor FC

KUALA LUMPUR: Bekas bintang sensasi bola sepak Jepun, Keisuke Honda membuat kejutan apabila berada di pusat latihan Selangor FC, di Shah Alam.

Tetapi kehadirannya bukan sebagai pemain baharu mahupun jurulatih, sebaliknya mahu meninjau pusat latihan skuad The Red Giants itu.

Honda yang sebelum ini dilaporkan berada di sini sejak beberapa hari lalu, hadir di venue latihan Selangor sambil ditemani Raja Muda, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menerima lawatan daripada bekas pemain Jepun, Keisuke Honda petang tadi untuk melihat kemudahan dan fasiliti di Pusat Latihan SFC,” kata kenyataan kelab itu di laman sosial Selangor FC.

Dalam lawatan itu, Honda di bawa melihat kemudahan gimnasium moden, klinik pemulihan pemain, padang latihan tertutup dan kolam pemulihan pemain.

Terdahulu, kemunculan pemain berusia 36 tahun itu di sekitar ibu kota menimbulkan beberapa persoalan di fikiran, antaranya adakah dia sedang mencari pasukan baharu untuk beraksi atau mengintai peluang melatih pasukan di Liga Malaysia.

Dia yang beraksi bersama AC Milan di Serie A Itali dari 2014-2017 itu pernah mencipta sensasi dengan gaya permainan menarik hingga dinobatkan sebagai pemain Paling Bernilai pada saingan Piala Asia 2011.

Begitupun, difahamkan Honda sudah setahun tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif dengan kali terakhir bersama kelab FK Suduva di Liga Lithuanian pada 2021.

Namun sebenarnya dia pernah dikaitkan dengan pasukan Selangor FC pada dua musim lalu selepas terdapatnya laporan portal sukan, Tokyo Sports Web yang mengaitkannya dengan skuad Red Giants, sebelum Honda menerima tawaran kelab Azerbaijan, Neftci Baku pada ketika itu.

Malah, jika dia berhasrat melatih mana-mana pasukan dalam liga tempatan, ia juga dilihat tidak mustahil kerana Honda pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Kemboja sebelum ini.

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan di Instagram miliknya, didapati Honda sedang menikmati percutian sekitar negara di Asean seperti Hanoi, Bangkok dan kini singgah ke Kuala Lumpur.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker