Liga-Malaysia, MHL akan berlangsung pada Mac

09/02/2021 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Setelah lama menanti, peminat sukan tanah air boleh kembali mengikuti perkembangan kejohanan tempatan apabila kejohanan bola sepak Liga-Malaysia (Liga-M) dan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 bakal diadakan bulan depan.

Ia selepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada pasukan Liga-M, MHL dan Sepak Takraw League (STL) untuk memulakan latihan menerusi konsep gelembung sukan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula Isnin ini.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malayais (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan, berkata sepak mula Liga-M akan kekal pada 5 Mac ini berikutan jadual yang agak padat.

Beliau berkata pihaknya tidak mempunyai banyak masa kerana selain dua pusingan masing-masing untuk Liga Super dan Liga Premier dan Piala Malaysia, pihaknya juga perlu memberi ruang kepada saingan Liga Juara-juara Asia (ACL) melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Piala AFC melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC.

Selain itu, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 melibatkan skuad Harimau Malaya pula dijangka dipinda ke Jun dari Mac, manakala Piala FA 2021 telah pun dibatalkan.

“Kami dari pihak MFL dan pasukan Liga-M berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ini merupakan petanda yang baik dan menggembirakan buat semua pasukan, pemain dan peminat.



Kepercayaan yang diberi oleh kerajaan ini satu tanggungjawab yang besar untuk semua yang terlibat bagi memastikan semua SOP diikuti setiap masa. Esok kita akan adakan mesyuarat secara maya bersama semua CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) pasukan untuk membincangkan perkara ini dengan rapi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya bersedia untuk menganjurkan MHL bermula dari 11 Mac hingga 10 April, susulan saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Bangladesh pada Mac ini telah ditunda.

“Kami sangat menghargai usaha KBS mendapatkan kebenaran untuk kejohanan kembali diadakan, di mana tarikh permulaan liga adalah 11 Mac bagi lelaki dan 17 Mac bagi wanita. Ia sangat penting untuk ekosistem sukan hoki dari segi kontrak pemain, pasukan dan penaja.

KHM akan menubuhkan satu jawatankuasa pasukan petugas khas di bawah Jawatankuasa Pertandingan bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada minggu ini untuk membincangkan SOP terlibat dengan lebih terperinci. Sudah pasti kos penganjuran akan meningkat, tetapi kita tak boleh buat apa-apa,” katanya.



KHM pada awalnya menjadualkan kategori lelaki MHL bermula dari 14 Jan hingga 20 Feb, manakala saingan wanita dijadual bermula dari 20 Jan hingga 20 Feb, tetapi terpaksa ditangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada bulan lepas.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail pula berkata keputusan mengenai STL akan diumumkan esok selepas perbincangan dengan ahli jawatankuasanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi catatan di Facebooknya menjelaskan bahawa fasa pertama kelonggaran bagi sektor sukan itu memerlukan tempat latihan dan pergerakan atlet yang terkawal mengikut model gelembung sukan.

Beliau berkata penginapan atlet juga perlu mengikut SOP Kuarantin di Kem dan Kuarantin di Rumah seperti yang telah ditetapkan.



“Keputusan ini merupakan langkah awal sektor sukan dan rekreasi dapat bernafas semula dalam persekitaran PKP ini. Ia juga membolehkan ekosistem industri sukan yang terlibat termasuklah melibatkan kandungan siaran, penajaan serta pemasaran dapat diaktifkan semula.

Saya masih berharap pertimbangan seterusnya dapat diberikan seperti mana permohonan dan cadangan KBS bagi membolehkan industri sukan massa seperti pengusaha dan operator fasiliti sukan serta pusat kecergasan turut diberi kebenaran untuk beroperasi. Penelitian akhir sedang dibuat dan insya-Allah akan diumumkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina pada minggu ini,” katanya.

MHL 2021 tanpa pemain import ?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button