MUFC jelaskan tunggakan gaji pemain RM915,000

10/02/2021 04:45 PM

MELAKA, 10 Feb — Melaka United Football Club (MUFC) Sdn Bhd bersama Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) telah menjelaskan tunggakan pembayaran gaji, elaun dan caruman kira-kira RM915,000 menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata usaha menyelesaikan segala tunggakan itu adalah bagi memastikan kelab berkenaan dapat menyertai saingan Liga-M yang dijadualkan bermula 5 Mac depan.

“Kita tidak mahu berdepan sebarang masalah selain mengelakkan daripada dikenakan tindakan yang boleh menjejaskan imej bola sepak Melaka. Antara bayaran yang berjaya dijelaskan termasuk tunggakan gaji dan elaun pemain import musim lalu, Uche Agba serta bekas pemain Curran Lawrence Singh Ferns.



“Tunggakan gaji bagi bekas pemain import, Narupon Wild Putsorn akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga-M 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain serta pegawai pasukan Melaka United bagi musim 2020 juga mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

Katanya, pembayaran berjadual itu membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama Melaka United.

“Tunggakan keseluruhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya dilunaskan sehingga kini manakala tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan,” tambahnya.



Pada 15 Jan lepas, Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dilaporkan berkata Melaka United antara enam pasukan Liga-M yang diberi lesen kelab kebangsaan secara bersyarat, berjaya memenuhi syarat memperoleh lesen kelab kebangsaan, sekali gus melayakkan mereka beraksi pada saingan Liga-M musim ini.

Sheikh Mohd Nasir dipetik sebagai berkata walaupun Melaka United berjaya memperoleh lesen kelab kebangsaan, pasukan berkenaan masih perlu menyelesaikan tunggakan bayaran LHDN dan caruman KWSP, sekiranya MUSA gagal membuat bayaran, tindakan tegas boleh diambil termasuk penarikan balik lesen (kelab kebangsaan) boleh dikenakan oleh FIB.

Enam pasukan peroleh lesen penuh kelab kebangsaan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker