Peruntukan khas RM3.1 juta untuk ADUN pembangkang Sabah


Datuk Hajiji Mohd Noor

09/02/2021 03:56 PM

TUARAN, 9 Feb — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM3.1 juta kepada 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di negeri ini.

Beliau berkata peruntukan khas yang diterima setiap seorang Adun sebanyak RM100,000 itu bertujuan membantu mereka menangani masalah di kawasan masing-masing berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Atas rasa penuh tanggungjawab, saya memberikan peruntukan khas ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Peruntukan ini adalah untuk membantu wakil rakyat pembangkang dalam usaha meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing akibat pandemik ini.

“Pemberian peruntukan khas ini sejajar dengan usaha kerajaan GRS dalam memastikan rakyat yang berdepan cabaran pandemik ini dapat dibantu dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim yang juga Adun Tamparuli; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai (Adun Kiulu); Pembantu Menteri Kewangan, Jasnih Daya (Adun Pantai Dalit) dan Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Husain.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata peruntukan khas itu akan disalurkan secepat mungkin kepada semua Adun pembangkang melalui Pejabat Daerah di kawasan mereka.

Sementara itu, mengenai majlis hari ini, Hajiji berharap mereka yang menerima watikah pelantikan dapat membantu kerajaan dalam merealisasikan aspirasi rakyat dan bersama-sama merancakkan pembangunan khususnya di Tuaran.

“Saya mengharapkan ketua adat yang dilantik dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam memartabatkan Mahkamah Anak Negeri. Tingkatkanlah ilmu dalam bidang masing-masing agar dapat menjalankan tugas pengadilan dengan sebaiknya.

“Begitu juga kepada Ketua Masyarakat Cina dan ketua kampung yang telah dilantik agar dapat menjalankan tanggungjawab secara profesional tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama dan bangsa di kawasan masing-masing,” katanya.

Sebanyak 117 orang menerima watikah pelantikan membabitkan ketua anak negeri, wakil ketua anak negeri, ketua masyarakat Cina dan ketua kampung dari DUN Sulaman dan Pantai.

Leave a Reply