Petugas media Malaysia bantu edar makanan kepada golongan memerlukan di London


Sivagami Vinayagan

10/02/2021 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Seorang petugas media Malaysia yang berpangkalan di London menyumbang tenaga membantu masyarakat di bandar raya itu dengan mengedarkan makanan kepada mereka terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sivagami Vinayagan, yang kini terbabit dengan program IBC Tamil (The International Broadcasting Corporation for Tamil) di London berkata penting bagi penduduk di kota London itu untuk kembali ceria.



“Kira-kira, 900 bungkusan makanan diedarkan setiap minggu sejak perintah sekatan pergerakan pertama di United Kingdom (UK) pada Mac tahun lalu.

“Saya mengagihkan makanan pada hujung minggu. Hati saya tersentuh melihat mereka yang terpaksa berjuang untuk mendapatkan makanan.

“Bungkusan makanan yang diedarkan memberi kegembiraan kepada mereka yang tidak bernasib baik,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Petugas media kelahiran Kluang, Johor ini yang menjadi sukarelawan World Shirdi Sai Baba Organisation di East Ham, London, berkata beliau masih meneruskan usaha mengedarkan makanan di London pada hujung minggu walaupun ketika sekatan pergerakan, yang turut memberi manfaat kepada ramai pelajar Malaysia.



Beliau yang juga pengacara dan penyampai TV bebas, terbabit dengan kerja amal sejak 10 tahun lalu, menyatakan ramai gelandangan di London sedang melalui detik sukar, ketika ini, manakala pelajar persendirian terpaksa bekerja sambilan untuk menampung yuran.

“Ramai juga pelajar kehilangan pekerjaan sambilan masing-masing dan berjuang untuk memenuhi keperluan harian,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, yang mula menetap di negara itu sejak 2004.

Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan sekatan pergerakan fasa tiga di England pada 4 Januari.

Ketika ditanya mengenai proses vaksinasi di London, Sivagami berkata secara umum, orang ramai menyambut baik kerana mereka menyedari kepentingannya dan berharap keadaan kembali normal.



Media antarabangsa melaporkan kerajaan merancang untuk memvaksin hampir 15 juta orang menerusi empat kumpulan pada pertengahan Februari, dan jutaan lagi penduduk berusia 50 tahun ke atas dan kumpulan-kumpulan lain menjelang musim bunga.

Sehingga ini, tiga vaksin telah diluluskan iaitu Pfizer/BionTech, Oxford/AstraZeneca, dan Moderna.

Senarai keutamaan vaksin merangkumi rakyat berusia 16 tahun ke atas dengan tahap kesihatan berisiko dan yang berumur antara 50 hingga 80 tahun, serta petugas kesihatan barisan hadapan.

Sivagami berkata orang ramai mesti memandang serius pandemik ini dan mengambil tanggungjawab bersama dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.



MET nafi dakwaan Malaysia sejuk seperti London pada Februari

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button