Piala Juara-Juara STL bermula bulan depan – PSM

Hebahkan !!!


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail

10/02/2021 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) akan disambung semula pada 2 hingga 5 Mac ini, demikian menurut Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) hari ini.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pihaknya boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kelonggaran untuk memulakan latihan menerusi konsep gelembung sukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula Isnin ini.

“Kita akan selesaikan 13 baki perlawanan itu dalam masa itu dan akan dijalankan secara gelembung sukan di mana semua pegawai dan pemain akan tinggal di pusat kuarantin yang telah ditetapkan oleh PSM,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad berharap semua pegawai dan pemain mengamalkan SOP ketat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselematan Negara (MKN) dan PSM, serta hendaklah dilaksanakan mengikut gelembung sukan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Keputusan itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, iaitu kerajaan membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan STL.

Selain itu, Ahmad berkata dengan kelonggaran tersebut segala perancangan dapat digerakkan semula demi membawa sukan negara ke satu tahap yang boleh menaikkan nama Malaysia di mata dunia.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu juga membolehkan serta memudahkan PSM membuat persiapan atlet bagi menghadapi Sukan SEA 2021 di Vietnam, November ini.

“Saya juga dengan ini berharap semua pasukan yang menjalani latihan berpusat di negeri masing-masing dan mematuhi segala SOP. Mereka hendaklah melaksanakan latihan secara pendekatan kuarantin sama ada di pusat kuarantin atau di rumah,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: