Sambutan Hari Pers Indonesia 2021 secara maya

09/02/2021 02:11 PM

Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 9 Feb — Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2021 atau hari media Indonesia, buat julung kalinya diadakan secara maya hari ini berikutan pandemik COVID-19.



Sebelum ini, HPN yang disambut pada 9 Feb setiap tahun disifatkan kedua terbesar selepas perayaan Aidilfitri di Indonesia kerana dihadiri menteri-menteri Kabinet, gabenor provinsi, duta-duta, tokoh korporat dan lebih 6,000 pengamal media di seluruh Indonesia, serta penglibatan penduduk setempat secara tidak langsung.

HPN adalah anjuran bersama pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI) dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).

HPN yang diadakan di kota-kota berbeza setiap tahun sebelum ini, turut dihadiri Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia, namun kali ini penyertaan mereka adalah secara maya.

Pada awalnya, HPN 2021 dijadual diadakan di Kendari, Sulawesi Tenggara, namun ditukarkan ke Jakarta berikutan pandemik COVID-19.



Presiden Indonesia Joko Widodo ketika merasmikan sambutan HPN secara maya, menzahirkan penghargaan kepada media yang memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat mendidik masyarakat ketika pandemik COVID-19.

“Saya mengucapkan terima kasih sebesar-besarnya kerana telah membantu kerajaan mendidik masyarakat agar menerapkan protokol kesihatan dan membantu masyarakat mendapatkan informasi yang benar dan tepat,” kata Jokowi secara maya dari Istana Merdeka, Jakarta.

Sambutan HPN 2021 bertemakan ‘Bangkit dari Pandemi, Jakarta Gerbang Pemulihan Ekonomi dengan Pers Sebagai Akselerator Perubahan’ itu diadakan di Candi Bentar, Kawasan Ancol, Jakarta dengan protokol kesihatan yang ketat dan kehadiran anggota media yang terhad dan perlu menjalani ujian saringan COVID-19.

Pengamal dan organisasi media di provinsi-provinsi lain di Indonesia juga hanya mengikuti acara itu secara maya.



Presiden Iswami Malaysia Abdul Rashid Yusof, Naib Presiden Iswami Malaysia Datuk Zakaria Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute Datuk Chamil Wariya dan Tokoh Wartawan Malaysia yang juga Presiden Iswami yang pertama, Tan Sri Johan Jaafar dalam rakaman video bersempena sambutan itu, turut menzahirkan penghargaan kepada media Indonesia atas penganjuran HPN 2021 sekalipun menghadapi pelbagai kekangan ketika pandemik COVID-19.

HPN sebelum ini turut dihadiri tokoh media, ketua-ketua pengarang media serta menteri Kabinet dari Malaysia berkaitan komunikasi dan multimedia.

Indonesia catat 8,002 kes jangkitan baharu COVID-19



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button