Thailand terima dua juta dos vaksin COVID akhir April – PM Prayuth


Jeneral Prayuth Chan-ocha

09/02/2021 06:04 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 9 Feb — Thailand dijangka menerima 2 juta dos vaksin COVID-19 menjelang akhir April, kata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini.

Beliau berkata kumpulan pertama 200,000 dos vaksin COVID-19 dijangka tiba lewat bulan ini manakala 800,000 dos lagi dihantar pada Mac.

“Sebanyak 1 juta dos lagi dijangka tiba pada April ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini.

Bagaimanapun, Prayuth tidak mendedahkan pembekal vaksin tersebut. Thailand telah menempah 61 juta dos vaksin Oxford-AstraZenecaCOVID-19 dan 2 juta lagi dos dari Sinovac Biotech China.

Bulan lalu, Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) Thailand telah memberikan kelulusan penggunaan kecemasan selama setahun untuk vaksin COVID-19 yang diimport, dibangunkan oleh AstraZeneca Plc dan Universiti Oxford.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 189 kes baharu COVID-19 termasuk 159 kes di Samut Sakhon, pusat penularan terbaru di negara itu dan sifar kematian sejak 24 jam lalu.

Setakat ini, Thailand mencatatkan 23,746 kes dan 79 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada 189 kes baharu itu, 123 kes adalah mereka yang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 74 warga Myanmar dan 32 warga Thailand, Kemboja (dua) dan seorang warganegara yang belum dikenal pasti, 56 melalui pengesanan kes aktif dan 10 kes import.

“Bilangan kes baharu COVID-19 telah menurun dengan ketara di Samut Sakhon daripada 777 kes pada 3 Feb kepada 159 kes hari ini. Ia (Samut Sakhon) kekal sebagai punca jangkitan di Thailand,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Thaweesilp berkata kira-kira 800 orang dalam komuniti dan kilang menjalani ujian COVID-19 setiap hari.

“Kami telah selesai jalani ujian di kilang-kilang besar di Samut Sakhon. Kami akan teruskan (pengesanan kes aktif) di kilang-kilang kecil dan komuniti,” katanya.

Gelombang baharu pandemik COVID-19 di Thailand mencatatkan 19,509 kes dan 19 kematian sejak pertengahan Disember lalu. Kira-kira 80 peratus kes ditemui di Samut Sakhon.

COVID: Thailand laksana strategi khas kawal penularan di kilang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker