Hamidin tidak dicabar pada Kongres FAM ke-57


Datuk Hamidin Mohd Amin (Gambar fail)

12/02/2021 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb — Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus kekal menerajui badan induk bola sepak negara itu bagi penggal kedua.

Sumber dalaman FAM mengesahkan perkembangan itu selepas tempoh pencalonan bagi jawatan itu ditutup pada pukul 5.30 petang semalam, menyaksikan Hamidin tidak dicabar mana-mana individu bagi posisi itu.



“Datuk (Hamidin) memang sah sudah menang jawatan presiden, menang tanpa bertanding,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Hamidin yang turut menang tanpa bertanding ketika mula dilantik sebagai presiden FAM pada 2018 sebelum ini menyatakan hasrat mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM ke-57 dijadual pada 13 Mac depan memandangkan terdapat misi beliau yang belum selesai.

Sumbangan Hamidin sebagai presiden ketujuh FAM adalah memperkenalkan Peta Hala Tuju FAM (F:30) yang merupakan pelan strategik untuk keseluruhan pasukan negara termasuk skuad Harimau Malaya yang disasarkan berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia pada 2026 dan kelompok 70 terbaik pada 2030.

Di bawah kepimpinan Hamidin juga buat pertama kali FAM membuka dasar menaturalisasikan pemain dari luar negara sebagai pelan jangka pendek untuk meningkatkan mutu kualiti pasukan kebangsaan bersaing di pentas antarabangsa.



Sementara itu, sumber juga mengesahkan pengurus skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi turut menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM bagi penggal 2021-2025.

17 jawatan jadi rebutan pada kongres ke-57 FAM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button