Liga-M: MUFC bawa masuk dua pemain import baharu


Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) bergambar bersama pemain import Melaka United Football Club (MUFC) selepas majlis menandatangani kontrak di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. Skuad Sang Kancil membawa masuk dua pemain import baharu iaitu penyerang berasal dari Brazil, Alex dos Santos Goncalves (dua, kiri) serta pemain kebangsaan Filipina, Manny Ott (kiri). Skuad itu turut melanjutkan kontrak dua pemain import musim lepas iaitu pemain kebangsaan Haiti, Sony Norde (dua, kanan) dan pemain dari Korea Selatan, Jang Suk Won. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

11/02/2021 09:04 PM

MELAKA, 11 Feb — Melaka United Football Club (MUFC) hari ini mendapatkan khidmat dua pemain import baharu bagi memperkuatkan lagi pasukan itu, untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang dijangka bermula 5 Mac depan.

Dua pemain berkenaan ialah penyerang kelahiran Brazil Alex dos Santos Goncalves, serta pemain kebangsaan Filipina Manuel Gelito Ott, yang mengisi kuota pemain import ASEAN.



Majlis menandatangani pemain-pemain disaksikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada satu majlis ringkas di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Untuk rekod, Alex Goncalves, 30, berhijrah dari kelab Liga 1 Indonesia Persikabo 1973 dan sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Brazil, Romania, Turki dan Indonesia, manakala penampilannya bersama Melaka United FC adalah penyertaan pertamanya dalam kempen Liga-M.

Sementara, pemain tengah Manuel Gelito Ott atau lebih dikenali sebagai Manny Ott, sebelum ini beraksi bersama kelab Filipina Ceres Negros.

Manny, 28, yang mewakili negaranya sejak 2010, merupakan pemain berdarah kacukan Jerman dan Filipina, selain pernah beraksi bersama kelab Liga 1 Thai Ratchaburi Mitr Phol.



Sementara itu, Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata, pengalaman dan ketangkasan yang dimiliki kedua-dua pemain tersebut akan membantu memantapkan lagi persediaan Melaka United, menghadapi saingan Liga-M musim ini.

“Kita percaya kehadiran tonggak import baharu dan serta pemain import yang dikekalkan, akan dapat memacu kecemerlangan bola sepak Melaka sepanjang musim ini.

“Saya juga yakin kesemua pemain dibawa masuk dan dikekalkan merupakan pilihan yang tepat, setelah dikaji dari pelbagai sudut oleh pihak pengurusan,” katanya.

Dalam pada itu, MUFC turut mengumumkan pelanjutan kontrak dua pemain import musim lalu, pemain kebangsaan Haiti Sony Norde, dan pemain pertahanan dari Korea Selatan Jang Suk-Won.

Turut menandatangani kontrak hari ini ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, yang akan menyarung jersi pasukan itu untuk dua musim sehingga 2022, manakala pemain pertahanan Razman Roslan menandatangani kontrak selama semusim.

Difahamkan, Melaka United juga bakal mendapatkan khidmat pemain import baharu dari Montenegro Stefan Nikolic, yang sedang menjalani proses kuarantin di ibu negara ketika ini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker