MUFC optimis selesaikan tunggakan gaji pemain – CEO

11/02/2021 07:30 PM

MELAKA, 11 Feb — Biarpun berdepan masalah kewangan, Melaka United FC (MUFC) Sdn Bhd tetap optimis akan melunaskan tunggakan gaji pemainnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Dalam nada kesal, beliau turut menyelar dakwaan pihak tertentu yang menyifatkannya berbohong, ketika membuat pengumuman telah menyelesaikan hutang tertunggak pemain membabitkan sejumlah kira-kira RM915,000 semalam.

“Kita mempunyai bukti semua pembayaran telah dibuat dan kami tidak akan keluarkan kenyataan tersebut sekiranya pembayaran itu belum dilakukan, namun mungkin berlaku sedikit kelewatan di pihak bank menyebabkan ia sedikit lewat diterima pemain terbabit.



“Kita bukan penipu, walaupun berdepan situasi sukar membabitkan aspek kewangan, kita berjaya juga menyelesaikannya,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani kontrak pemain import baharu Melaka United FC di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Luahan Mohd Saiful itu susulan kenyataan pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi akaun Twitter yang mendakwa, ahli persatuan mereka masih belum menerima bayaran seperti yang diumumkan MUFC.

Mengulas lanjut Mohd Saiful berkata, kenyataan itu dikeluarkan secara melulu dan ia boleh memburukkan imej kelab bola sepak berkenaan, memandangkan pihaknya mempunyai bukti pembayaran hutang.

Beliau berkata pihak PFAM seharusnya, menghubunginya atau wakil pasukan terlebih dahulu bagi mendapatkan perkembangan tersebut, kerana tindakan sedemikian hanya akan menjatuhkan reputasi pasukan dan negeri.



“Kita tahu mereka menjaga kebajikan pemain, tetapi mereka juga perlu adil kepada MUFC,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker