Tok dalang wayang kulit berbangsa Cina tetap ceria sambut Tahun Baharu

11/02/2021 09:30 PM

PASIR MAS, 11 Feb — Meskipun Tahun Baharu Cina yang disambut esok mungkin suram ketika berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun keluarga tok dalang wayang kulit berbangsa Cina yang terkenal di Kelantan ini tetap ceria menyambutnya.

Eyo Hock Seng, 65, atau lebih mesra dipanggil Pak Cu, bukan sahaja menghias rumah agar berseri untuk sambutan itu malah beliau turut menitipkan lagu berunsur nasihat melalui persembahan wayang kulit kepada wartawan ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Parit Chekok di sini, hari ini.

“Selamat Tahun Baharu, kita semua ucapkan tak kira apa bangsa. Jangan langgar SOP (prosedur operasi standrd) nanti kena COVID-19. Ia mudah berjangkit atas manusia… atas manusia,” katanya ketika mengalunkan lagu itu.

Berketurunan Cina Peranakan, beliau mula menceburi persembahan wayang kulit yang biasanya dimainkan masyarakat Melayu di negeri itu sejak berusia 9 tahun lagi.

Seorang anaknya, Eyo Cal Wiss, 24, turut berjinak-jinak dalam persembahan seni tradisional itu.

Demi cintanya kepada wayang kulit, Pak Cu telah membina sebuah Muzium Seni dan Budaya bersebelahan kediamannya yang menyimpan segala khazanah berkaitan persembahan wayang kulit.

Mengulas sambutan tahun baharu, beliau berkata buat pertama kali, dua daripada tujuh anaknya tidak dapat pulang pada tahun ini.

“Mereka bekerja di Kuala Lumpur tetapi saya nasihatkan mereka supaya jangan sedih sebab nanti COVID-19 akan berakhir juga dan nanti boleh beraya bersama.

“Saya nasihatkan mereka agar patuh kepada apa sahaja nasihat kerajaan kerana apa yang mereka buat ini adalah untuk kebaikan kita semua,” katanya.

Beliau berkata apa yang akan dilakukannya ialah mengadakan sidang video melalui telefon pintar ketika berlangsungnya ‘makan besar’ petang ini dan juga ketika sambutan perayaan itu esok.

“Biarlah saya tengok anak cucu saya melalui panggilan video. Hilang juga rindu saya nanti,” kata warga emas yang mempunyai enam cucu itu.

 

Leave a Reply