Geng menyamar polis untuk menyamun tumpas

11/02/2021 06:35 PM

TAIPING, 11 Feb — Polis berjaya menumpaskan Geng Ah Fatt, yang aktif menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan samun di beberapa daerah di Perak termasuk Taiping selain Selangor, menerusi beberapa operasi sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata, dalam serbuan sejak Januari hingga semalam, seramai 12 individu berumur 20 hingga 39 tahun termasuk dua wanita ditahan, dan polis berjaya merampas pelbagai barangan curi.

Katanya kumpulan itu yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ah Fatt’, bertindak merekrut ahli serta merancang melakukan jenayah di sekitar Perak dan Selangor sejak Ogos tahun lalu, menggunakan motosikal dan kereta.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menahan mangsa dengan menyamar sebagai polis yang memakai ‘vest’ pasukan keselamatan ini, serta menggunakan gari untuk menakutkan mangsa sebelum melakukan samun.

“Polis telah merampas pelbagai barangan termasuk lima kereta, sepucuk pistol tiruan, dua bilah parang panjang, sepasang gari, sehelai pakaian polis, dua helai vest, 21 telefon bimbit, pelbagai dokumen pengenalan diri, dua paket heroin dan 570 biji pil kuda, dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM600,000,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Osman, kesemua kenderaan yang dirampas dilaporkan hilang di sekitar Perak serta Selangor dan polis yakin dengan penangkapan 12 individu tersebut, sebanyak 25 kes samun, menyamar polis, pecah rumah dan curi kenderaan di kedua-dua negeri itu, berjaya diselesaikan.

Katanya, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan direman sehingga Ahad ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 170, Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata seorang penganggur ditahan kerana memiliki selaras senapang angin dan selaras busar panah (Crossbow Ek Archery) model CR-071B, serta satu bekas berisi peluru besi (pallet) di sebuah rumah di Taman Jebong Aman, Simpang pada 7 Feb lalu.

Katanya suspek yang mempunyai satu rekod jenayah, direman sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 mengaku memperolehi senjata itu daripada seorang lelaki Indonesia pada tahun 2016, dan menyimpannya untuk kegunaannya sendiri.

Dalam satu kenyataan berasingan, Osman memaklumkan polis menahan seorang lelaki berumur 43 tahun yang berbogel dan mengamuk menggunakan sebilah parang di tepi jalan berhampiran Rumah Hijau kira-kira pukul 6.54 petang semalam.

“Suspek pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Hulu Kinta, Tanjung Rambutan dan tindakan lelaki itu dikatakan akibat tidak mengambil ubat penenang. Dia berjaya dipujuk selepas hampir 15 minit, sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Pengawal Keselamatan Menyamar Pegawai Polis

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker