KPDNHEP bongkar taktik menggunakan lori pasir seludup minyak masak


FB KPDNHEP Kelantan

12/02/2021 01:15 PM

TUMPAT, 12 Feb — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar modus operandi penyeludup menggunakan lori pasir bagi melakukan kegiatan menyeludup minyak masak ke Thailand, melalui pengkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata modus operandi itu digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menyeludup keluar sebanyak 1,360 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM3,400 ke negara jiran.

“Lori membawa muatan barang kawalan berkenaan ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Kubor pada 3 petang semalam (Khamis). Taktik itu dipatahkan hasil operasi bersepadu pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut menahan seorang lelaki pemandu lori itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azanizam berkata ketika serbuan dilakukan, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan dan pemeriksaan menemui 1,360 kg minyak masak bernilai RM3,400 di simpan dalam lori pasir jenis Isuzu.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori itu diupah RM100 untuk membawa minyak masak berkenaan ke satu lokasi mengikut arahan penyeludup melalui panggilan telefon dan bekalan minyak masak itu diambil daripada pemborong di Pasir Mas,” katanya.

Katanya pemandu lori itu didapati tidak mempunyai dokumen atau lesen yang dikeluarkan pegawai bekalan dan telah melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker