Liga-M: FIFA lulus lanjutan tempoh pendaftaran

12/02/2021 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb — Pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima ‘masa tambahan’ dalam mempersiapkan pasukan menghadapi musim 2021 apabila tempoh pendaftaran pertama pemain dilanjutkan sehingga 19 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata lanjutan itu diluluskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, selepas menerima permohonan rasmi badan pengelola Liga-M itu yang dibuat melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Katanya, keputusan melanjutkan tempoh pendaftaran itu disebabkan beberapa kekangan dalam tempoh COVID-19 dihadapi pasukan terutama melibatkan pendaftaran pemain import.



“Ini merupakan perkembangan amat baik bagi pasukan atau kelab yang terlibat dalam Liga-M kerana mereka mempunyai masa seminggu lagi untuk memastikan pemain benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran musim ini,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Ab Ghani berharap pasukan menggunakan tempoh lanjutan itu sebaik mungkin memandangkan selepas ini tiada lagi tempoh lanjutan boleh diberikan FIFA.

MFL sebelum ini memutuskan tempoh pendaftaran pertama Liga-M akan bermula pada 21 Jan sehingga 12 Feb.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata perkembangan itu memberikan suntikan semangat buat pasukan yang bakal memulakan latihan berpasukan pada Isnin ini susulan kebenaran diberikan kerajaan.



“Maka semua pasukan harus memastikan agar semua pemain dan pegawai terlibat mematuhi SOP (prosedur operasi standard) untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dalam Liga-M,” katanya.

Kempen saingan Liga-M 2021 dijadual bermula 5 Mac depan dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker