Pemandu lori, dua tonto ditahan bawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan

12/02/2021 03:59 PM

GERIK, 12 Feb — Cubaan dua tonto dan seorang pemandu lori membawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan gagal apabila ditahan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Km 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Sungai Lebey dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, pemeriksaan ke atas lori tiga tan berkenaan menemui empat tan (4,000 kilogram) daun ketum yang disimpan dalam 400 bungkusan plastik hitam pada bahagian belakang kenderaan berat tersebut.

“Polis kemudian menahan pemandu lori berusia 31 tahun itu serta mengejar dua tonto yang terdahulu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (4X4) jenis Ford Rangers berwarna hitam yang telah melepasi sekatan jalan itu.

“Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah mengejar kenderaan itu sejauh hampir 30 kilometer (km) dan berjaya menahan kedua-dua tonto berumur 35 dan 43 tahun itu selepas kenderaan mereka terbabas di KM 36 JRTB, dekat Banding, Gerik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu lori itu diupah sebanyak RM1,200 dan daun ketum bernilai kira-kira RM40,000 itu diperoleh dari Kedah untuk dibawa ke Kelantan dan jika dipasarkan boleh mencecah nilai RM120,000.

Zulkifli berkata siasatan turut mendapati modus operandi dua tonto yang dibayar upah RM500 setiap seorang itu akan memberikan arahan kepada pemandu lori yang membawa daun ketum untuk menukar pemandu lori dan nombor pendaftaran lori apabila melalui sekatan SJR.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah manakala dua tonto terbabit mempunyai rekod jenayah dan menyeludup daun ketum.

Katanya kesemua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zulkifli berkata pihaknya telah merampas sebanyak 8,169 kg daun ketum di sekitar Gerik pada tahun lepas dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti itu dapat dibendung dengan berkesan.

Leave a Reply