Tujuh nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan APMM

12/02/2021 11:32 AM

KUALA TERENGGANU, 12 Feb — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tujuh nelayan Vietnam bersama bot mereka kerana menceroboh perairan negara, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot tersebut ditahan kapal peronda KM Tegas ketika melaksanakan rondaan Op Kuda Laut, pada kedudukan 65 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira pukul 10 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kru termasuk tekong berusia 28 hingga 45 tahun dipercayai warganegara Vietnam tidak mempunyai sebarang pengenalan diri berada di dalam bot tersebut”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata turut dirampas bot, hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan dan diesel yang keseluruhannya berjumlah RM1 juta. Kesemua mereka yang ditahan dan bot terbabit dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Tindakan tangkapan yang dilaksanakan ini adalah bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan datang dari warga asing yang menceroboh perairan negara,” katanya.

Tambah beliau, APMM terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab dalam usaha menangani sebarang kesalahan di perairan negara walaupun terpaksa berhadapan cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika peralihan Monsun Timur Laut.

Beliau turut meminta masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

APMM usir bot nelayan Thailand ceroboh perairan negara

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker