10 termasuk penjawat awam ditahan berparti liar


ACP Noorzainy Mohd Noor (Gambar fail)

14/02/2021 11:42 AM

BUTTERWORTH, 14 Feb — Polis menahan 10 individu termasuk seorang penjawat awam yang sedang leka berhibur dan berparti liar di sebuah inap desa di Kampung Benggali, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan dijalankan, pihaknya menyerbu pangsapuri itu pada 1.10 pagi dan mendapati terdapat lapan lelaki serta dua wanita yang kesemuanya berusia 21 hingga 31 tahun sedang berhibur.



“Kumpulan itu menyewa inap desa tersebut untuk berparti liar dan minum air ketum kerana dalam pemeriksaan di rumah terbabit kami turut menemukan enam bungkusan serta sebotol air ketum. Selain itu polis turut merampas satu set pembesar suara, mereka turut menjadikan rumah itu seperti pusat hiburan dan turut memasang muzik dengan kuat untuk berhibur di situ,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya siasatan mendapati mereka menyewa pangsapuri itu tiga hari dua malam dengan bayaran RM300 untuk dijadikan tempat berhibur dan minum air ketum bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa serbuan awal pagi tadi, mereka baru semalam menginap di situ untuk berparti liar dan setakat ini ujian air kencing semua mereka didapati negatif,” katanya dan menambah mereka yang ditahan terdiri daripada penjawat awam iaitu bekerja sebagai atendan sebuah hospital, berniaga, pekerja kilang, pekerja kurier dan pekerja syarikat swasta.

Beliau berkata selain dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar PKP iaitu berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah, semua mereka turut direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki air ketum.



34 termasuk warga asing ditahan leka berparti liar

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button