Kesiagaan ATM terus diperkasa melalui inisiatif PERMAI


Tan Sri Affendi Buang

13/02/2021 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Peruntukan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) secara tidak langsung memberi manfaat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkasakan lagi kesiagaan bagi membantu negara memerangi penularan wabak COVID-19.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata penyediaan peruntukan itu amat diperlukan terutama bagi petugas barisan hadapan yang terlibat dalam Op Penawar dan Op Benteng di samping mereka di bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM yang membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan pandemik itu.



Melalui inisiatif PERMAI iaitu Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara, ATM melihat dengan kepakaran yang dimiliki oleh pesara/veteran dari Perkhidmatan Kesihatan ATM, ia dapat mengukuhkan keperluan kakitangan perubatan yang boleh dilantik secara kontrak bagi meringankan beban di hospital dan fasiliti kesihatan ATM dalam menangani penularan COVID-19.

“Sememangnya terdapat dalam kalangan bekas-bekas pegawai dan anggota Perkhidmatan Kesihatan ATM yang sedia diaturgerakkan untuk membantu usaha kerajaan jika mereka diminta berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Melalui inisiatif Melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19 pula, Affendi berkata ATM amat menghargai usaha kerajaan yang memberi keutamaan kepada pasukan itu bersama petugas barisan hadapan lain dalam Fasa 1 Pemberian Vaksin COVID-19.

Ia akan membantu melindungi mereka daripada risiko jangkitan semasa menjalankan tugas dan mengekalkan kesiagaan ATM pada tahap maksimum, katanya.



Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Jan mengumumkan pakej PERMAI bernilai RM15 bilion bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Affendi berkata sehingga kini, ATM mengaturgerakkan 3,651 anggota melibatkan Tentera Darat, Laut dan Udara dalam Op Penawar bagi membantu pihak berkuasa dalam penugasan rondaan dan sekatan jalan raya.

Melalui Op Benteng yang dikoordinasi oleh Pasukan Petugas Kebangsaan dengan ATM sebagai agensi peneraju, sejumlah 13,870 anggota dari 19 agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara diaturgerakkan untuk melaksanakan operasi itu.

”Adalah ditegaskan ATM sentiasa komited dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan negara dan rakyat keseluruhannya.



“Peruntukan yang diberikan melalui inisiatif PERMAI ini akan digunakan sepenuhnya dalam usaha bersama kerajaan bagi memerangi penularan pandemik ini,” katanya.

Perdagangan Malaysia-China terus diperkasa



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button