Kerjasama, konflik parti bayangi politik PRU-15

Tahun 2020 melabuhkan tirainya. Meskipun kita menempuh tahun baharu, sukar untuk memutuskan rantaian dengan perkembangan politik dan demokrasi yang berlaku tahun lalu.

Seperti sedia maklum, krisis demi krisis politik berlaku hingga menyaksikan perubahan kerajaan sama ada di peringkat Pusat dan negeri. Demokrasi di Malaysia sudah menjadi luar biasa dan melangkaui garis kelaziman.

Politik Malaysia di awal tahun baharu seolah-olah digegarkan beberapa isu penting. Antara menarik perhatian kenyataan beberapa pemimpin UMNO baru-baru ini untuk tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, timbul cadangan UMNO bekerjasama dengan DAP bagi menubuhkan kerajaan baharu.



Justeru, satu aspek sangat menarik dianalisis adalah bentuk kerjasama politik yang cuba diketengah dan diperkukuhkan blok serta parti tertentu untuk meraih sokongan rakyat, khususnya bagi memenangi PRU-15.

Kerjasama politik adalah elemen penting dalam politik Malaysia. Tidak ada mana-mana parti politik boleh memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan tanpa bekerjasama.

Sekurang-kurangnya empat dimensi kerjasama politik menjadi perhatian menjelang PRU-15.

Pertama, Perikatan Nasional (PN). Bentuk kerjasama ini wujud selepas perubahan kerajaan pada Mac tahun lalu. Bagi memperkukuh PN, pakatan ini didaftarkan dan pengerusi badan perhubungan negeri turut dilantik.



UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menyertai pakatan ini kerana sokongan mereka kepada kerajaan hanyalah merujuk penyertaan ahli Parlimen dalam Kabinet. Namun, BN tetap menghantar wakil sekiranya ada perbincangan bersama PN dengan alasan mahu memantau perjalanan kerajaan.

Dalam PN, BERSATU seolah-olah menjadi ‘abang’ kepada pakatan ini kerana Perdana Menteri datang daripada parti itu. BERSATU juga dibantu PAS. Keberadaan PAS dikritik beberapa pihak kerana parti ini juga berada dalam Muafakat Nasional (MN).

Kedua, MN. Blok politik Melayu dan Islam ini menjadi sumber kekuatan Melayu selepas PRU-14. Apabila UMNO tewas dan melihat kepada dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mesra kepentingan Melayu/Islam di negara ini, satu usaha digerakkan untuk menyatukan dua parti politik terbesar iaitu UMNO dan PAS.

Himpunan Penyatuan Ummah memperakukan penyatuan UMNO dan PAS sehingga mewujudkan Piagam MN. Meskipun ada pihak sangsi dengan tempoh kerjasama politik ini, kekuatan MN tidak boleh dipandang sepi kerana ia berjaya mengikat semangat kekitaan orang Melayu/Islam demi survival golongan majoriti negara.

Namun, sejak kebelakangan ini, timbul persoalan bagaimana MN diterjemahkan dalam pilihan raya memandangkan pakatan ini tidak didaftarkan. Sebagai satu kerjasama politik longgar, ia tidak mengikat UMNO mahu pun PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Disebabkan itu jugalah, PAS memilih bersama BERSATU dan PN pada masa sama. Namun, PAS tidak bebas daripada mendapat kritikan UMNO apabila diberi kata dua sama ada memilih UMNO atau BERSATU pada PRU-15.

Ketiga, BN. Blok politik ini mempunyai pengalaman panjang, sejak ditubuhkan pada 1974 rentetan penjenamaan semula Perikatan. Sejak pilihan raya diperkenalkan di negara, Perikatan dan BN memenangi semua PRU hinggalah rakyat menolak mereka pada PRU-14.

Dalam Perikatan mahupun BN, UMNO parti tunjang. Apabila Perikatan dan BN menubuhkan kerajaan, UMNO menjadi parti teras kepada kerajaan.

Namun, UMNO tidak lagi mendapat keistimewaan ini apabila tidak berjaya memiliki sokongan rakyat mencukupi untuk memenangi pilihan raya. Buat kali pertama, UMNO menjadi pembangkang.

Pada PRU-14, UMNO memenangi 54 kerusi Parlimen. Namun, 14 daripada mereka keluar parti dan menyertai BERSATU. Kekuatan UMNO seolah-olah terbahagi dua apabila sebahagian ahli Parlimen mereka menyertai kerajaan PN dan diberikan jawatan menteri.

Mereka yang dilantik ke jawatan menteri, perlu mendukung kerajaan PN dengan berpegang teguh kepada konsep tanggungjawab bersama. Oleh itu, kita tidak pernah atau jarang mendengar kritikan daripada menteri daripada UMNO kepada kerajaan meskipun parti mereka lantang bersuara.

Sebahagian lagi pemimpin UMNO berada di luar kerajaan dan lantang mengkritik PN. Ada memberi kritikan membina dan pencerahan bagaimana kerajaan sepatutnya bertindak.

Apa yang jelas, kritikan ini mendapat perhatian apabila dikaitkan persaingan UMNO dengan BERSATU untuk menerajui tampuk kepemimpinan negara.

Keempat, gabungan pembangkang. Selepas gagal mempertahankan kerajaan pasca PRU-14, PH mula mencari rentak semula.

Meskipun mempunyai kekuatan bukan Melayu, PH mesti mendapat sokongan parti Melayu untuk memenangi pilihan raya. Ini terbukti mereka memenangi PRU-14 hasil kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan BERSATU.

Oleh itu, timbul dakwaan PH mahu menjalin kerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mencadangkan UMNO menjalinkan kerjasama dengan PKR. Namun, cadangan ditolak UMNO kerana mereka kekal berpegang dengan prinsip ‘No Anwar, No DAP’.

Kemelut pembentukan gabungan pembangkang lebih besar turut dihantui persoalan siapakah yang mengetuai mereka selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai masih sangsi keupayaan pemimpin baharu untuk menggantikan Anwar memimpin pakatan pembangkang.

Selain empat dimensi kerjasama politik ini, kerjasama antara Dr Mahathir dan Anwar turut menjadi tanda tanya politik. Namun, sukar mempertaruhkan semula kerjasama kedua-dua pihak kerana pengalaman sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak mustahil mereka boleh bekerjasama sekiranya terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat pada PRU-15 nanti.

Paling diperkatakan dakwaan cadangan kerjasama UMNO dan DAP. Kerjasama ini dianggap ‘tabu’ kerana kedua-dua parti mempunyai arah perjuangan jauh berbeza.

Sekiranya kerjasama terjalin, DAP akan mendapat banyak manfaat dengan mendakwa memiliki sokongan Melayu. UMNO mungkin akan lebih hilang sokongan.

Apa yang lebih menarik, UMNO satu-satunya parti yang tidak pernah bekerjasama dengan DAP. PAS sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam pun pernah bersama DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (PR). Nampaknya, UMNO perlu belajar dengan PAS mengenai DAP.

Tuntasnya, politik Malaysia dibayangi konsensus dan konflik melalui kerjasama politik menjelang PRU-15.

Apabila kekuatan setiap parti hampir sama, kerjasama politik bukan lagi pilihan, tetapi kemestian. Isu ini antara akan dibincangkan dalam Wacana Intelektual bertajuk ‘Politik dan Demokrasi di Malaysia 2021: Apa Akan Terjadi?’ anjuran Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) jam 10 pagi esok, melalui platform zoom.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker