Industri pawagam kembali rancak, serikan Tahun Baru Cina

15/02/2021 04:27 PM

BEIJING, 15 Feb — Tahun ini, ramai rakyat China menyahut seruan kerajaan untuk menyambut Tahun Baru Cina di lokasi masing-masing berbanding pulang ke kampung, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Lantaran itu, aktiviti rekreasi seperti menonton filem dan mengunjungi pameran secara dalam talian anjuran beberapa muzium turut menambah kemeriahan sambutan perayaan.

Tujuh filem termasuk Detective Chinatown 3 dan Hi, Mom telah ditayangkan pada hari pertama Tahun Baru Cina pada Jumaat lalu.



Filem Detective Chinatown 3 yang terpaksa ditunda setahun akibat wabak, berjaya mencuri tumpuan dan dijangka akan mengungguli carta kutipan pecah panggung.

Naib ketua editor akhbar China Film News, Zhang Jinfeng berkata, jumlah tayangan filem sempena cuti Tahun Baru Cina adalah mencukupi dengan kandungannya yang cukup menarik.

“Promosi tiket filem juga dijayakan menerusi saluran ‘Internet+’, media baharu dan video pendek,” ujar Zhang.

Semua panggung wayang turut memperketat langkah kawalan wabak bagi menjamin keselamatan penonton.



Menurut peraturan ditetapkan, kemasukan pengunjung di tempat-tempat hiburan termasuk pawagam dan teater di daerah berisiko rendah dihadkan tidak melebihi 75 peratus berbanding bilangan diluluskan.

Untuk rekod, hasil kutipan jualan tiket filem di seluruh negara dianggarkan melebihi RMB3 bilion (RM1.87 bilion) setakat 13 Februari.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker