Kemuka tuntutan palsu kepada Perkeso: SPRM tahan dua pengarah syarikat swasta

15/02/2021 09:33 PM

JOHOR BAHRU, 15 Feb — Dua pengarah syarikat swasta ditahan kerana disyaki terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkaitan tuntutan Program Subsidi Upah di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menurut sumber, kedua-dua suspek iaitu seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang lelaki berusia 64 tahun ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Segamat pada 2 petang tadi bagi membantu siasatan.

SPRM memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan isu ketirisan khususnya berkaitan bantuan yang telah disalurkan pihak kerajaan bagi meringankan beban rakyat dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

Sumber juga berkata siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan agensi itu pada 8 malam.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Leave a Reply