Tendang dagu tunang adik perempuan, juruteknik didenda RM1,500

15/02/2021 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Gara-gara mencederakan tunang adik perempuannya dengan menendang dagu lelaki itu, seorang juruteknik di sebuah kilang didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan turut memerintahkan Ahmad Akmal Azhar, 25, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu, dipenjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda.

Bagaimanapun, bapa saudara tertuduh, Mohd Amirudin Mohd Zain, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka yang tidak diwakili peguam, didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan ke atas penghantar makanan Muhammad Nuraiman Abdul Shukor, 22, di Jalan Jasa 5 Sungai Tua Batu Caves, Gombak di sini pada 3.30 petang, 22 Jan lepas, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap Ahmad Akmal dengan mengambil kira kecederaan ringan dialami mangsa dan turut memohon satu tarikh sebutan untuk kes dihadapi Mohd Amirudin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd Amirudin diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Leave a Reply