Tiga kematian akibat Ebola dilaporkan di Guinea


Sumber gambar: https://time.com/5939434/guinea-ebola-deaths/

15/02/2021 02:43 PM

MOSCOW, 15 Feb — Sekurang-kurangya tiga kematian akibat Ebola dilaporkan di Guinea, memetik pihak berkuasa kesihatan, lapor Agensi Berita Sputnik.

Pada Ahad, pihak berkuasa kesihatan mengisytiharkan wabak Ebola di sub-wilayah Goueke, yang terletak 45 kilometer (28 batu) dari Nzerekore, kota kedua terbesar di negara ini. Ia kes pertama yang disahkan di Guinea, sejak wabak itu berakhir pada 2016.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan pada Ahad berkata siasatan awal mendapati seorang jururawat pusat kesihatan tempatan meninggal dunia pada 28 Januari 2021.

“Enam orang yang menghadiri pengebumian itu kemudian melaporkan gejala seperti Ebola dan dua daripadanya telah meninggal dunia, sementara empat yang lain masih dirawat di hospital,” tambah WHO.

Menteri Kesihatan Guinea Kolonel Remy Lamah pada Sabtu berkata menurut laporan awal sekurang-kurangnya tiga orang maut akibat Ebola di negara itu. Lamah berkata siasatan lanjut mengenai kes itu akan dijalankan di Conakry, ibu negara Guinea.

Africa Times pada Sabtu melaporkan empat kematian akibat Ebola di negara itu.

“WHO memberikan sokongan kepada pihak berwajib untuk mengatur struktur pengujian, pengesanan kontak dan rawatan sebagai tindak balas segera,” kata Pengarah Wilayah WHO untuk Afrika Dr. Matshidiso Moeti.

Selain itu, WHO turut membantu pihak berkuasa Liberia, Sierra Leone dan Republik Demokratik Kongo sebagai langkah berjaga-jaga berikutan laporan mengenai kemunculan kes baharu Ebola.

Leave a Reply