30 Ketua Cawangan Warisan sertai Bersatu di Semporna

16/02/2021 05:34 PM

SEMPORNA, 16 Feb — Dakwaan nasib rakyat tidak terbela menjadi antara punca 30 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Parlimen Semporna keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas ketua cawangan Kampung Bangau-Bangau Panglima Atani, Noorasmah Omar berkata kepimpinan Warisan gagal mengotakan janji kepada rakyat, misalnya, mendirikan penempatan bagi mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau pada 2015.

“Setiap kali tiba pilihan raya, undi kami dipinta dan mereka hanya bermulut manis termasuk mahu membina penempatan untuk mangsa kebakaran ini, namun setelah mendapat undi, janji itu jadi palsu dan sudah enam tahun mangsa kebakaran mendiami rumah kongsi transit daif,” katanya kepada pemberita di sini.



Noorasmah, 57, antara 30 ketua cawangan dari Mukim Simunul serta Bangau-Bangau menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Bahagian Bersatu Semporna Mohd Daud Tampokong, di sini, hari ini.

Bekas ketua cawangan Warisan Sri Aman, Abdul Jal Jayari, 48, berkata beliau kecewa kerana dasar yang dibangkitkan dalam setiap kempen pilihan raya lalu tidak seperti yang diungkapkan antaranya berkaitan itu penempatan penduduk pesisir laut di Simunul.

“Penduduk pesisir laut di sana sedia maklum kawasan itu digazetkan dan diberi notis berpindah namun yang mengecewakan saya janji mereka, memberi jaminan hak penduduk dipertahankan jika menang pada pilihan raya lalu.

“Jangan mempengaruhi rakyat dengan perkataan yang memberi harapan namun hakikatnya itu hanya sandiwara, itu paling mengecewakan kami selaku pengundi,” katanya.



Sementara itu, Mohd Daud mengalu-alukan lebih ramai penyertaan ahli baharu ke dalam Bersatu dan sejak 2018 sehingga kini lebih 20,000 keahlian direkodkan di Semporna.

“Tidak silap untuk menyertai Bersatu, kerana pimpinan negeri serta pusat itu diketuai oleh pimpinan Bersatu, kita ada peluang untuk membangunkan daerah ini, jadi kita patut rebut peluang itu dan kedudukan kita dari setiap sudut setara dengan daerah lain,” katanya.

Katanya, negara kini ditadbirkan pemimpin yang berjiwa rakyat dan bantuan demi bantuan disalurkan demi kelangsungan hidup penduduk ketika ramai terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Selain itu, Timbalan Ketua Bahagian Parti Cinta Sabah (PCS) Semporna, yang juga calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Mad Jalis Lais, turut menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu.

PKPB tak halang pasangan petugas barisan hadapan akhiri zaman bujang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker