Ahli politik dan isteri didakwa edar, tanam kanabis


Ahli politik, Adam Asmuni dan isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga tuduhan edar dan menanam dadah jenis kanabis di rumah mereka.

16/02/2021 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Seorang ahli politik dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumah mereka, pada bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Adam Asmuni, 35, dan Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim, kerana kes itu melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 1,580.4 gram (1.58 kilogram) dan mengedar cecair jenis dadah sama berisi padu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di sini pada 7.30 malam, 20 Jan lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, ahli perniagaan dan suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri itu juga didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad manakala Lyiana diwakili peguam Nur Mustanir Md Nor. Bagaimanapun, Adam tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.

Terdahulu, di mahkamah berasingan, Majistret Farah Nasihah Anuar melepas tanpa membebaskan Lyiana, yang didakwa atas pertuduhan sama pada 1 Feb lepas sebelum mendakwanya semula hari ini bersama-sama suaminya di hadapan Normaizan.

Bernama sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan ditahan, kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu rumah suspek di Ampang.

Turut ditahan dalam serbuan tersebut adalah isteri serta pembantu rumah suspek.

Leave a Reply