Bantuan RM500 sekali beri: Pesara, bekas, petugas polis perlu kemas kini maklumat


Datuk Saiful Azly Kamaruddin (Gambar fail)

16/02/2021 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Pesara, bekas dan juga petugas polis era darurat yang menerima pembayaran RM500 secara sekali beri perlu mengemaskinikan maklumat peribadi dalam sistem laman web e-pesara polis iaitu epesara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata bagi memudahkan pesara polis, bekas polis dan petugas polis untuk mengemas kini maklumat dalam sistem berkenaan, polis Kuala Lumpur akan mengadakan Hari Bersama Pesara Polis, Bekas Polis dan Petugas Polis.



Beliau berkata ia akan diadakan pada esok hingga Jumaat ini di Foyer ‘B’ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah.

“Program ini turut diadakan secara serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terletak di bawah pentadbiran kontinjen Kuala Lumpur.

“IPD yang terlibat adalah di IPD Brickfields, IPD Cheras, IPD Dang Wangi, IPD Sentul, IPD Wangsa Maju dan IPD Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Azly berkata pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan yang telah disahkan sepertimana yang disyaratkan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia bil 7/2008.



“Bagi pesara polis perlu membawa salinan kad pengenalan awam, salinan kad pesara polis/kad pesara Jabatan Perkhidmatan Awam dan salinan akaun bank/salinan penyata bank,” katanya.

Beliau berkata bagi bekas polis/petugas polis perlu membawa salinan kad pengenalan awam, salinan dokumen pengesahan jawatan dan salinan akaun bank/salinan penyata bank.

“Polis Kuala Lumpur amat mengalu-alukan kehadiran pesara polis, bekas polis dan petugas polis pada program berkenaan.

“Semua yang hadir diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Saiful Azly berkata jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut mereka boleh menghubungi Cawangan Hal Ehwal Pesara Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 409/224.

Pada 3 Feb lepas, seramai 80,000 pesara, bekas dan petugas polis bakal menerima bayaran RM500 secara sekali beri yang dibuat secara berperingkat mulai Mac hingga November ini.

Guru, pesara dan warga emas sasaran utama Macau Scam di Johor

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker