Mujahid berjaya batal saman fitnah RM5 juta


© Provided by Free Malaysia Today Mujahid berjaya membatalkan saman fitnah RM5 juta terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini berjaya membatalkan saman fitnah RM5 juta difailkan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadapnya berhubung laporan rencana membabitkan kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar itu yang diterbitkan dalam dua portal berita.

Mujahid memfailkan permohonan itu pada 14 Okt tahun lalu susulan saman difailkan Kamarul pada 28 Julai.

Saman itu berdasarkan artikel oleh Mujahid yang kemudian disiarkan dua portal berita pada 2017, lapor Bernama.



Peguam Mujahid, Noorazmir Zakaria berkata Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Mahkamah bersetuju dengan hujahan defendan (Mujahid) bahawa tuntutan saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Mahkamah membenarkan permohonan Mujahid dengan kos RM5,000,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas keputusan permohonan tersebut menerusi prosiding dalam talian (e-review) hari ini.

Menerusi writ saman dan penyataan tuntutan yang difailkan pada 28 Jul tahun lalu, Kamarul, 51, mendakwa Mujahid selaku defendan telah menerbitkan dua rencana berunsur fitnah membabitkan kenyataannya di dua portal berita dalam talian iaitu The Malaysian Insight dan Malaysia Dateline bertajuk “Disiplin Ilmu Bukan Sentimen Murahan” selain mendakwa rencana itu juga dimuat naik menerusi laman Facebook Mujahid dan Parti Amanah Negara.

Kamarul mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang ahli akademik murahan, berfikiran jumud dan rasis serta ‘menyerang’ parti politik Amanah.



Plaintif menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah tidak benar dan telah diterbitkan oleh defendan dengan berniat jahat dan menuntut antaranya ganti rugi RM5 juta termasuk ganti rugi teladan dan keterlaluan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kalau Rayu Sokong Anwar… Minta Maaf Sahajalah – Asyraf

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker