PKP: Waspada gadai barang berharga, elak jadi mangsa tipu – Bukit Aman

16/02/2021 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta masyarakat agar berwaspada jika menggadaikan barangan berharga di pajak gadai bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata ini kerana kemungkinan wujudnya kegiatan pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa terdesak untuk mendapatkan wang.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac tahun lepas sedikit sebanyak memberikan impak dari segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu. Demi kelangsungan hidup, sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di pajak gadai.

“Sekiranya masyarakat ingin menggadaikan barangan berharga, sila pastikan berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali berurusan melalui medium secara dalam talian kerana kegiatan pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan berdaftar.

Beliau berkata walaupun PDRM tidak menerima sebarang laporan kes berkenaan, kebarangkalian untuk kes-kes sebegini berlaku adalah tidak mustahil.

Zainuddin berkata masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur serta undang-undang yang berkaitan bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Usaha dan peranan PDRM serta masyarakat adalah amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersial. Antara lain, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat dan mengutamakan keperluan,” katanya.

Beliau berkata hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri.

Lelaki terjun sungai elak ditahan polis ditemukan lemas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker