14 lelaki termasuk lima warga emas sabung ayam ditahan


Kredit: PDRM

17/02/2021 10:12 AM

IPOH, 17 Feb — Lima warga emas antara 14 lelaki ditahan, kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam di kawasan kebun berpagar di Taman Impiana Adril, Jalan Pegoh, Menglembu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua lelaki berusia 25 hingga 71 tahun itu ditahan dalam Op Limau, yang dijalankan oleh pasukan risik operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira pukul 11.45 pagi.



“Ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan polis merampas lima ekor ayam sabung dan sangkar masing-masing, satu jam penggera digital dan dua gulung kertas kotak yang dijadikan gelanggang.

“Kita turut merampas wang tunai RM25,078 dan empat kerusi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

A.Asmadi berkata siasatan awal mendapati perjudian sabung ayam itu telah berlangsung sebanyak lima kali, dengan ayam bersabung selama 20 minit sekali pusingan dengan masing-masing meletakkan pertaruhan antara RM500 hingga RM1,000.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan turut dikenakan kompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dan dimasukkan ke lokap Jelapang dan Pasir Puteh.



Katanya permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952.

COVID-19: Penternak telur ayam dakwa rugi jutaan ringgit



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button