A4U peruntuk lebih dana untuk pertukaran dengan universiti di Malaysia

17/02/2021 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Alianza 4 Universidades (A4U), sebuah persatuan dianggotai empat universiti awam Sepanyol, memperoleh lebih banyak dana Erasmus+ bagi program pertukaran dengan empat universiti rakan kongsi Malaysia untuk sesi akademik 2021-2022 dan 2022-2023.

Delegasi Kesatuan Eropah (EU)ke Malaysia dalam satu kenyataan berkata dana ini akan membantu meneruskan pertukaran pelajar dan staf antara Universitat Autònoma de Barcelona, Universidad Autónoma de Madrid, Universidad Carlos III de Madrid dan Universitat Pompeu Fabra dengan empat universiti rakan kongsi Malaysia – Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, dan Universiti Sains Malaysia.

Ia berkata A4U telah membiayai pertukaran 10 kakitangan dan pelajar Malaysia dan Sepanyol, dan enam lagi sedang dirancang untuk sesi akademik dua tahun menerusi dana baharu Erasmus +, sebuah program EU untuk lebih empat juta golongan muda belajar, menimba pengalaman kerja, atau menjadi sukarelawan di luar negara.

Tarikh akhir permohonan adalah 12 Mac untuk penuntut PhD dan staf, dan 9 April untuk penuntut Sarjana Muda.

Kenyataan itu mengatakan dalam situasi COVID-19 global, pertukaran Erasmus + diteruskan apabila sekatan kesihatan dan perjalanan di negara-negara yang menghantar dan menerima pelajar membenarkannya.

“Melalui program Erasmus +, universiti yang turut serta berpeluang menjalin kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan, menarik bakat dan meningkatkan jumlah pelajar dan staf antarabangsa, yang seterusnya menyumbang kepada kepelbagaian dan pengantarabangsaan mereka,” katanya.

Hasilnya, pelajar dapat meningkatkan kemahiran bahasa dan antara budaya, menambahkan keyakinan dan memperoleh pengalaman antarabangsa yang sesuai dengan kelayakan mereka, tambah kenyataan itu.

Penyelidik yang menetap di luar negara dapat membantu pelajar kedoktoran memulakan kerjaya mereka sementara kakitangan pula mendapat faedah daripada pertukaran apabila mereka berkongsi dan belajar amalan terbaik serta memperoleh pengalaman langsung daripada sistem pendidikan yang berbeza, katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://alliance4universities.eu/en/mobility-scholarships/.

PDRM umum enam pertukaran pegawai kanan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker