China sokong Okonjo-Iweala terajui WTO

16/02/2021 05:50 PM

BEIJING, 16 Feb — China akan terus memberikan sokongan padu kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bakal diterajui ketua pengarah baharu, Ngozi Okonjo-Iweala.

Selain merakamkan ucapan tahniah, Kementerian Perdagangan China turut menaruh harapan tinggi kepada wanita dari Afrika itu yang dilantik memimpin WTO.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu juga berharap fungsi pertubuhan antarabangsa itu dapat dipulihkan secepat mungkin, tatkala penularan COVID-19 belum reda yang turut mengakibatkan sistem perdagangan pelbagai hala terdedah kepada cabaran getir.



Harapan tinggi turut disandarkan kepada Okonjo-Iweala yang juga Ketua Pengarah WTO wanita pertama untuk mengoptimumkan fungsi WTO dalam usaha sama memerangi wabak dan memberi nafas baharu kepada ekonomi.

Selain itu, China juga mahu menyaksikan hasil memuaskan dicapai dalam Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-12 (MC12) yang ditangguhkan sehingga Jun depan di Nur Sultan, Kazakhstan.

Okonjo-Iweala juga diharap terus melaksanakan reformasi terhadap WTO, serta menjaga kewibawaan dan kecekapan sistem perdagangan pelbagai hala.

Sempena ulang tahun ke-20 keanggotaan China dalam WTO pada tahun ini, negara Tembok Besar itu kini mempercepat pembentukan paradigma pembangunan baharu dan yang akan menawarkan lebih banyak peluang kepada dunia.



Selain menjunjung sistem perdagangan pelbagai hala, China akan lebih aktif terlibat dalam reformasi WTO, dan menyokong kepimpinan Okonjo-Iweala ke arah menambah baik sistem tadbir urus global dan meningkatkan kesejahteraan rakyat seluruh dunia.

Ngozi Okonjo-Iweala dari Nigeria dilantik Ketua Pengarah baharu WTO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker