COVID-19: Lebih kurang 4.7 juta pekerja Thailand bakal kehilangan pendapatan
Foto: Andre Malerba/ZUMA Wire/dpa
17/02/2021 07:10 PM
BANGKOK, 17 Feb — Lebih kurang 4.7 juta pekerja di Thailand bakal kehilangan pekerjaan susulan gelombang terbaharu wabak COVID-19 pada pertengahan Disember tahun lalu.
Jawatankuasa Dasar Monetari Bank of Thailand (BoT) dalam minit mesyuarat dasarnya pada 3 Feb yang diterbitkan hari ini berkata pekerja yang mungkin kehilangan pendapatan ini terdiri daripada mereka yang menerima upah harian dan yang bekerja sendiri dalam sektor bukan pertanian termasuk kakitangan industri perhotelan.
“Daripada pekerja-pekerja ini, sekitar 1.2 juta bakal menjadi penganggur,” katanya.
Wabak terbaru COVID-19 yang meledak dari wilayah Samut Sakhon, pusat wabak terbaharu di Thailand, mencatatkan 20,724 kes dan 22 maut sejak pertengahan Disember 2020.
Pada 3 Feb lepas, BoT telah mengekalkan kadar dasar pada rekod serendah 0.5 peratus untuk menyokong pemulihan ekonomi di tengah-tengah lonjakan jangkitan COVID-19.
MPC sebulat suara mengundi bagi mengekalkan kadar faedah penanda aras itu untuk mesyuarat keenam berturut-turut.
Pemulihan ekonomi Thailand kekal tidak menentu, oleh itu ruang dasar monetari yang terhad perlu dikekalkan agar sebarang respons boleh dibuat pada masa yang sesuai untuk memaksimumkan keberkesanannya.
Katanya, ekonomi Thailand akan berkembang lebih perlahan daripada 3.2 peratus yang dinilai sebelum ini berikutan impak COVID-19 terkini terhadap ekonomi.
“Bagaimanapun, pemulihan merentasi sektor mungkin bersifat tidak sekata. Oleh itu, langkah-langkah tambahan seharusnya lebih disasarkan, seiring dengan keperluan dan potensi prospek perniagaan,” katanya.
Jawatankuasa itu melihat kejatuhan nilai baht boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.
“Jawatankuasa ini akan memantau dengan teliti perkembangan pasaran pertukaran asing dan aliran modal serta mempertimbangkan keperluan melaksanakan langkah-langkah tambahan yang bersesuaian bagi memastikan pergerakan kadar pertukaran tidak akan menghalang pemulihan ekonomi,” katanya lagi.
Ekonomi Thailand menguncup sebanyak 6.1 peratus pada 2020, kejatuhan terbesarnya sejak krisis kewangan Asia 1998.
Berikutan kesan serius pandemik COVID-19 ke atas ekonomi Thailand, Pejabat Majlis Pembangunan Sosial dan Ekonomi Kebangsaan mengurangkan ramalan pertumbuhan ekonomi 2021 untuk negara itu kepada 2.5 hingga 3.5 peratus berbanding unjuran sebelum ini iaitu pada 3.5 hingga 4.5 peratus.
BoT dijangka akan membuat kajian semula ke atas dasar monetarinya menjelang 24 Mac depan.