Gambar tular keranda diusung adalah gambar lama – Polis


Gambar ihsan PDRM

18/02/2021 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Gambar keranda diusung bagi melepasi batu penghadang yang didirikan di Jalan Sungai Choh, Rawang yang tular di media sosial bukanlah kejadian baharu kerana ia adalah gambar lama yang pernah tular pada 30 Jan dan 3 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata batu penghadang itu dipasang pada 13 Jan lepas di sempadan daerah Gombak dan Hulu Selangor apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua dilaksanakan.

“Ia bertujuan menyekat pergerakan rentas daerah di kawasan tersebut dan satu daripada inisiatif memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Pengguna jalan raya juga telah dimaklumkan jalan alternatif iaitu di Rawang bypass,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa PKP pertama tahun lepas, batu penghadang yang sama juga pernah didirikan di lokasi tersebut dan telah dibuka semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki warga asing semalam selepas menemukan enjin daripada sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dilaporkan hilang di Bandar Baru Rawang sejak 21 Okt tahun lepas.

Arifai berkata polis membuat pemeriksaan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Rawang Putra, Rawang pada 2 petang dan mendapati enjin tersebut merupakan enjin kereta milik pengadu yang melaporkan keretanya hilang sejak tahun lepas.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja yang dilaporkan hilang sejak 30 Okt tahun lepas di Saujana Utama, Sungai Buloh dan kedua-dua suspek direman 14 hari hingga 1 Mac ini untuk siasatan kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Serang hendap van duit

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker