PELAKON GERAK KHAS, ‘DETEKTIF LIM’ SELAMAT BERNIKAH DI USIA 56

“Alhamdulillah, majlis akad nikah berjalan lancar,” demikianlah kata pelakon yang popular dengan watak ‘Detektif Lim’ dalam drama bersiri Gerak Khas iaitu Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, 56, yang meluahkan rasa syukur apabila dia selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norhayati Abdullah, 39.

Farid berkata, majlis akad nikah yang berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur, semalam, berjalan dengan lancar walaupun sedikit lewat.

“Sepatutnya ia berlangsung jam 12 tengah hari tapi dilewatkan sedikit memandangkan ada beberapa pasangan lain sebelum kami. Majlis semalam dihadiri lima orang termasuk saya dan juga isteri. Akad nikah disempurnakan oleh jurunikah dari Jawi, Ustaz Maliki,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Farid, melangsungkan majlis pernikahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada kelebihan dan kekurangan. Difahamkan, perkahwinan ini merupakan yang pertama buat Farid dan isterinya yang juga ahli perniagaan.



Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

“Kalau dari segi kos, memang jimat sebab kita tak ada jemputan dan sebagainya. Tapi, dari segi perasaan untuk mengikut adat, saya rasa sunyi sikit sebab tak ada majlis keraian. Insya Allah, kalau PKP sudah ditamatkan nanti dan kita dibenarkan untuk adakan majlis, kami akan adakan majlis resepsi sama ada di Kuala Lumpur atau di kampung halaman isteri di Kuala Krai, Kelantan,” ujarnya.

Berita tersebut turut dikongsikan rakan artis, pelakon Zulkifli Ismail di laman Instagram ketika menghadiri majlis pernikahan pelakon berkenaan.

“Tahniah dan selamat pengantin baharu kepada sahabat saya, pelakon Farid Amirul Hisham Wu Abdullah dan pasangannya, Nor Hayati Abdullah yang selamat diijabkabulkan sebentar tadi (semalam).



“Majlis pernikahan dilangsungkan secara ringkas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Saya doakan semoga Farid dan isteri bahagia hingga ke akhir hayat,” tuturnya.

Image_3.jpg

Menerusi hantaran tersebut, Zulkifli turut memuat naik foto bersama pasangan pengantin yang mengenakan busana pengantin berlatar belakang pelamin serba ringkas.

Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri turut memberikan ucapan tahniah kepada pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah itu menerusi Twitternya selepas terserempak dengan pasangan pengantin itu di JAWI.

“Selamat pengantin baharu diucapkan kepada ‘Detektif Lim’ daripada Gerak Khas! Kebetulan terserempak dengan beliau selepas selesai urusan di JAWI, Kuala Lumpur,” kata Zulkifli yang mendoakan agar Farid dan isteri berbahagia selain dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Selain terkenal menerusi drama Gerak Khas, Farid yang memulakan kerjaya lakonan sekitar tahun 1980-an pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Panggilan Pulau, Jibon, Bara, Leftenan Adnan, Pasrah dan Evolusi KL Drift.

Image_4.jpg

Image_5.jpg

Image_6.jpg

3 TAHUN PEGANG GELARAN DATUK – FARID HORMATI KEPUTUSAN MENARIK BALIK

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker