Peluang skuad ragbi 15’s sertai ARC 2021 kembali cerah


Kesatuan Ragbi Malaysia

17/02/2021 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Peluang pasukan 15 sepasukan (15’s) negara menyertai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dijadual berlangsung pada Mei ini, tampak kembali cerah meskipun masih bergelut mencari dana dalam melakukan persediaan terbaik menghadapi saingan itu.

Ia selepas Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengesahkan beberapa syarikat korporat menyatakan kesediaan mereka dalam menaja persiapan pasukan negara yang kini menduduki ranking dunia ke-49 dan keenam di Asia.



“KRM sedang memperhalusi strategi persediaan pasukan 15s…KRM telah dimaklumkan kesediaan beberapa syarikat korporat untuk menaja persediaan pasukan kebangsaan dalam menghadapi ARC.

“Dana yang bakal diperoleh masih kurang daripada apa yang diperlukan dan akan diperoleh secara berperingkat,” menurut Setiausaha Agung Kerhormat KRM Amrul Hazarin Hamidon dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu antara dibincangkan dalam Mesyuarat Exco KRM secara dalam talian dipengerusikan Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya pada Isnin lepas, selain mengenai penubuhan Akademi Ragbi Malaysia (ARM) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sebelum ini, KRM merayu sumbangan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk syarikat bagi membolehkan pasukan ragbi 15’s negara menyertai perlawanan di peringkat antarabangsa dengan sekurang-kurangnya RM2 juta diperlukan bagi mempersiapkan pasukan selama enam bulan.



Sementara itu, KRM memaklumkan ARM yang bakal ditubuhkan akan merangkumi aspek kejurulatihan, kepengadilan dan kepegawaian dalam sukan ragbi selain turut mempunyai cabang dalam memberi fokus kepada pembangunan pengadil menerusi penubuhan Sekolah Cikgu Maniam (SCM).

Sementara itu, mesyuarat turut bersetuju untuk memulakan Projek Ragbi Piala Dunia 2031 (Projek P31) yang melibatkan beberapa fasa dan bakal diletakkan di bawah seliaan Pengarah Pembangunan KRM.

Menyentuh mengenai status pembinaan Stadium Ragbi Negara, KRM memaklumkan sebuah syarikat konglomerat berminat untuk membantu badan induk ragbi negara itu dalam menambah baik prasarana dan penyelenggaraan diperlukan di stadium tersebut.

KRM rayu sumbangan kewangan untuk skuad negara sertai kejohanan antarabangsa



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button