Piala Bandaraya Shah Alam aksi pemanas badan buat UiTM FC hadapi Liga-M 2021

17/02/2021 09:07 PM

SHAH ALAM, 17 Feb — Kelab bola sepak UiTM FC bakal menggunakan aksi persahabatan Piala Bandaraya Shah Alam 2021 sebagai medan pemanas badan sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM FC Sdn Bhd Mustaza Ahmad berkata kejohanan persahabatan itu juga penting untuk UiTM FC mempamerkan aksi terbaik bagi menguji kesiapsiagaan pasukan itu memandangkan latihan pramusim Liga-M tidak sampai tiga minggu sebelum sepak mula pada 5 Mac ini.

“Perlawanan persahabatan itu yang bermula hujung minggu ini di Stadium UiTM Shah Alam turut melibatkan pasukan tidak kurang handalnya iaitu Perak FC dan Terengganu FC II.

“Kita kena ambil kesempatan untuk mulakan persiapan musim ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aksi persahabatan Piala Bandaraya Shah Alam 2021, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim yang menyampaikan penajaan berjumlah RM300,000 kepada UiTM FC bagi penganjuran kejohanan persahabatan itu dan juga program latihan berpusat pramusim.

Mustaza berkata segala garis panduan telah diterangkan kepada pasukan terlibat bagi memastikan kejohanan persahabatan itu berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Konsep gelembung sukan diberi penekanan utama kerana kita juga turut menjalankan program latihan berpusat pramusim melibatkan tiga pasukan berkenaan. Pemain serta pegawai yang terlibat hanya dibenarkan bergerak dari hotel ke tempat latihan dan perlawanan sahaja.

“Latihan akan dijalankan di padang Dewan Agong Tuanku Canselor dan Kompleks Sukan UiTM. Setiap hari hanya dua sesi latihan dibenarkan sebelum perlawanan bermula antara UiTM FC menentang Terengganu FC II,” katanya.

Kejohanan persahabatan itu bakal menyaksikan UiTM FC akan bertemu Terengganu FC II pada Jumaat ini, Terengganu FC II bertemu Perak FC (21 Feb) dan Perak FC berdepan tuan rumah, UiTM FC pada 23 Feb.

Sementara itu, Mustaza berkata UiTM FC menyambut baik inisiatif CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan agar mereka yang terlibat dalam Liga-M menjadi antara terawal dalam industri sukan yang menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata langkah itu secara tidak langsung mampu mengurangkan kos perbelanjaan kelab bola sepak melakukan ujian saringan COVID-19 khususnya bagi pasukan ‘kecil’.

Katanya, setakat ini lima ujian saringan COVID-19 yang dijalankan ke atas kesemua pemain dan pegawai UiTM FC menunjukkan keputusan negatif.

Harimau Malaya asah taring di Asia Barat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker