PKP 2.0 Tidak Halang Sindiket Jalang

Sindiket Jalang Babit Warga Asing Tumpas

Kegiatan sembilan warga asing menawarkan khidmat seks pada kadar RM50 bagi 15 minit di sebuah hotel murah di sini berjaya dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri apabila kesemua mereka dicekup, semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Melaka, Mohd. Sharulnizam Ismail berkata, wanita berusia di antara 26 hingga 35 tahun itu terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Vietnam dan Bangladesh.

Katanya, dalam serbuan Op Gegar yang dijalankan di Jalan Tun Ali di sini, sindiket itu dipercayai cuba menyembunyikan kegiatan tidak bermoral itu dengan menyewa premis tersebut dengan kadar sewa RM1,500 sebulan.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan sembilan wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks pada harga RM50 bagi 15 minit.

“Kita turut menahan penjaga premis hotel itu digelar ‘kapten’ berusia 50 tahun dan seorang pelanggan warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, difahamkan setiap wanita warga asing menerima upah sebanyak RM30 untuk setiap pelanggan, manakala baki diambil penjaga premis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kegiatan haram itu dipercayai telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan memulakan operasi seawal pukul 10 pagi sehingga 4 petang di hotel berkenaan.

“Meskipun negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP), operasi sindiket itu tetap berjalan seperti biasa yang mana pelanggan mereka terdiri daripada lelaki warga asing dan juga tempatan.

“Semasa serbuan dijalankan, kesemua wanita warga asing yang berada di premis itu cuba melarikan diri, bagaimanapun, usaha itu gagal dan berjaya ditahan anggota penguat kuasa,” ujarnya.

Dalam serbuan itu, JIM merampas kondom, beberapa set radio walkie-talkie, buku kerja, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM1,040 dipercayai hasil pelacuran.
Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Sumber – MelakaExplorer

Agensi keselamatan perhebat penempatan aset halang kemasukan pendatang di perairan Sabah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker