Sindiket curi elektrik lombong bitcoin tumpas, libat rampasan RM2.6 Juta


Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan hasil rampasan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam hari ini. Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin menerusi serbuan di 21 premis rumah kedai di tiga daerah, pada 15 dan 16 Februari lalu. Hasil serbuan membawa kepada rampasan sebanyak 1,746 unit mesin melombong bitcoin bernilai RM2.6 juta.? Dalam serbuan seramai tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 64 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu berjaya ditahan. — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

17/02/2021 08:20 PM

JOHOR BAHRU, 17 Feb — Polis menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin menerusi serbuan di 21 premis rumah kedai di tiga daerah, pada Isnin dan semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Selatan itu dilakukan di Daerah Johor Bahru, Muar dan Tangkak.

Katanya, dalam serbuan itu seramai tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 64 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu turut ditahan.

Menurutnya, hasil serbuan pula membawa kepada rampasan sebanyak 1,746 unit mesin melombong bitcoin bernilai RM2.6 juta.

“Kita lakukan risikan selama sebulan dan dapati sindiket ini bergerak aktif sejak awal tahun 2020. Sindiket ini juga telah menyebabkan TNB mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM8.6 juta,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata ketujuh-tujuh suspek yang ditahan itu didapati berperanan dalam memastikan premis sentiasa di dalam keadaan baik dan mesin perlombongan bitcoin yang digunakan mereka tidak rosak.

“Kita akan terus lakukan siasatan kerana dipercayai saki baki ahli kumpulan dan mastermind (dalang) masih bebas.

Kita juga akan lihat kesesuaian untuk ambil tindakan mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya.

Ayob Khan berkata seunit mesin melombong bitcoin berkenaan memerlukan satu kuasa kuda untuk membolehkannya berfungsi selama 24 jam dan boleh dibeli pada harga RM200 hingga RM3,000 secara dalam talian.

Beliau dalam masa sama berkata, sepanjang tahun lepas sahaja TNB telah mengalami kerugian sekitar RM90 juta akibat daripada aktiviti mencuri arus elektrik bagi menjalankan kegiatan melombong bitcoin di Johor.

Menurutnya, selain kerugian, kegiatan mengubah suai dan melakukan penyambungan secara haram pada pendawaian elektrik itu juga boleh menyebabkan berlakunya kebakaran, kerosakan dan gangguan arus elektrik di premis-premis berdekatan.

Ayob Khan berkata kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB.

Kes pelaburan bitcoin: Tujuh termasuk warga China ditahan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker