Syabu ditemukan dalam botol susu, lelaki ditahan

17/02/2021 08:23 PM

LANGKAWI, 17 Feb — Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah syabu seberat 10.2 gram yang disimpannya di dalam satu botol susu, selepas memeriksa sebuah penginapan inap desa dalam Ops Tapis di Jalan Pantai Chenang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis turut menemukan satu paket plastik dadah jenis syabu seberat 1.1gram dan satu peket plastik ganja seberat 3.5 gram pada lelaki berusia 36 tahun berasal dari Pulau Pinang itu, yang merupakan seorang bekas imam.



Beliau berkata terdahulu sepasukan aggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi telah melaksanakan Ops Tapis di sebuah bilik di inap desa kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu paket plastik dadah jenis syabu seberat 1.1gram, satu paket plastik ganja seberat 3.5 gram dan 10.2 gram ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam sebiji botol susu kaca,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya saringan air kencing mendapati lelaki yang kini bekerja sebagai jurubekam itu positif dadah jenis methamphetamine, dan suspek kini direman selama lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Shariman berkata pada hari yang sama, polis turut menahan seorang lelaki berumur 45 tahun di Jalan Datai bersama 41 gram heroin dan 4.70gram syabu, pada pukul 4.00 petang, dan kira-kira satu setengah jam kemudian seorang lagi lelaki berumur 37 tahun ditahan di jalan Telok Ewa, bersama 117.50 gram heroin dan 3.40 gram syabu.



“Kedua-dua suspek yang positif dadah jenis morfin direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah dadah yang dirampas daripada ketiga-tiga lelaki itu dianggarkan bernilai RM7,665.

7 MPV polis kejar, kepung Myvi dipandu remaja



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button