COVID-19: Vaksin ciptaan tempatan Thailand bakal diuji ke atas manusia

18/02/2021 10:31 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 18 Feb — Vaksin COVID-19 yang dibangunkan secara tempatan di Thailand bakal diuji ke atas manusia pada akhir bulan April atau awal Mei selepas terbukti berjaya dalam percubaan ujian yang dilakukan terhadap tikus dan monyet tahun lepas.



Pengarah Hospital Chulalongkorn Profesor Dr Suttipong Wacharasindhu berkata vaksin RNA messenger (mRNA) itu, yang dibangunkan Universiti Chulalongkorn, terbukti mampu membina keimunan terhadap virus yang menyebabkan COVID-19.

“Fasa pertama ujian ke atas manusia akan merangkumi 72 sukarelawan di Hospital Chulalongkorn manakala fasa kedua membabitkan 300 hingga 600 sukarelawan di Hospital Chulalongkorn dan Universiti Mahidol,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ketua Penyelidik Pusat Kecemerlangan dalam Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin di Universiti Chulalongkorn Kiat Ruxrungtham berkata ‘ChulaCov19’ akan dihasilkan di California dengan kapasiti pengeluaran sehingga lima juta dos menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata vaksin itu akan dihasilkan secara tempatan selepas itu oleh syarikat Thailand, Bionet Asia Co.



Thailand berhasrat memberikan vaksinasi kepada 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini. Kumpulan pertama 200,000 dos vaksin COVID-19 dari China dijadualkan tiba pada 24 Feb.

Setakat ini, Thailand dilaporkan telah memesan sejumlah 61 juta dos vaksin COVID-19 keluaran Oxford-AstraZeneca dan dua juta dos lagi keluaran Sinovac Biotech dari China.

Sementara itu, Thailand merekodkan kematian pertama membabitkan seorang doktor yang mendapat jangkitan COVID-19 daripada pesakit.

Dr Panya Hanphanitphan, 66, seorang doktor di wilayah Maha Sarakham, meninggal dunia di Hospital Srinagrind di Khon Kaen pada 1.19 pagi (waktu tempatan) tadi.



Kematian beliau akan dimasukkan dalam jumlah kes COVID-19 pada Jumaat.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan sejumlah 25,111 kes dengan 82 kematian.

Kesemua 824 peserta pusingan Asia di Bangkok diuji negatif – BWF



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button